Sabari sah dibunuh, suspek mengaku campak mangsa dalam Sungai Padang Terap


  • 112
  • Isnin, 30 Sep 2024

Sabari Baharom dipercayai mati dibunuh selepas dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kedah.

MISTERI kehilangan seorang lelaki berusia 62 tahun sejak 4 September lepas akhirnya terjawab apabila polis tampil mengesahkan bahawa mangsa mati dibunuh.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dua lelaki tempatan ditahan didakwa terbabit dalam pembunuhan mangsa, Sabari Baharom.

Dalam peristiwa itu, Sabari dikatakan telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang, Kubang Pasu, Kedah dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

BACA LAGI: GISB Travel & Tours antara 81 syarikat disiasat terlibat kartel penetapan harga umrah di Malaysia

BACA LAGI: Kes Daesh: Bekas Ketua Kumpulan 'Wolf Pack' kena penjara 10 tahun, didapati bersalah terlibat aktiviti keganasan

6327889422049209477

Sabari bersama anak-anaknya.

Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek yang berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lepas.

"Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.

"Bagaimanapun, sehingga kini, mangsa masih gagal ditemui dan usaha mencari masih dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan itu, Fisol Salleh berkata, siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang yang membabitkan mangsa dan dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Beliau berkata, polis juga memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa.

"Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

"Namun, orang ramai diminta membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis," katanya.

Sebelum ini, seorang perempuan, Zaty memuat naik di media sosial mengenai pencarian bapanya, Sabari yang dilaporkan hilang sejak 4 September lepas.

Bagaimanapun, kehilangan mangsa menjadi misteri apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik namun mangsa dilaporkan tiada di tempat kejadian.

Susulan itu, ahli keluarga mangsa mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram