PASUKAN negara bimbingan Kim Pan-gon akan turun menentang Bahrain pada perlawanan kedua saingan peringkat kumpulan E dalam temasya Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad pada 20 Januari ini.
Ketika perlawanan pembukaan menentang Jordan yang menyaksikan pasukan negara tewas dengan keputusan 4-0, banyak kelemahan yang ada dalam kesebelasan utama dan peminat mahu melihat Pan-gon untuk membuat perubahan agar skuad Harimau Malaya mengelak dari mengalami kekalahan kedua sekali gus tersingkir dari kejohanan, lapor VOCKET FC.
Antara perubahan pertama yang boleh dilakukan ialah di bahagian pertahanan yang mana Pan-gon boleh menggandingkan Shahrul Saad dan Dion Cools di posisi pertahanan tengah.
BACA LAGI: '7 tahun membazir masa', Pahang hampir pasti dapat bek kental JDT, Selangor
Ketika dimasukkan pada separuh masa kedua pada aksi pertama, Shahrul dilihat memberi kestabilan berbanding separuh masa pertama.
Selain itu, Syahmi Safari juga boleh diberikan peluang untuk menggantikan ketua pasukan, Matthew Davies di posisi pertahanan kanan.
Seterusnya, Pan-gon boleh merombak bahagian tengah dengan menurunkan Brendan Gan dan Syamer Kutty Abba bagi memberi perlindungan kepada barisan pertahanan dan membolehkan Stuart Wilkin untuk naik ke atas bagi membantu serangan.
Gandingan Afiq Fazail dan Wilkin pada perlawanan pertama kurang menjadi terutamanya Afiq yang dilihat mudah kehilangan bola dan kurang membantu benteng negara ketika diasak oleh pemain Jordan.
Akhir sekali, Kim Pan-gon boleh merehatkan pemain naturalisasi negara, Romel Morales yang bergelut pada perlawanan pertama dan menurunkan tiga serangkai iaitu Faisal Halim di sebelah kiri, Darren Lok sebagai penyerang tunggal dan Arif Aiman kembali ke posisi asalnya iaitu sayap kanan.
Bahrain berada di posisi lebih tinggi berbanding Jordan dalam ranking FIFA iaitu di kedudukan ke-86 dan sudah pasti pemain negara akan berdepan cabaran yang sukar ketika hari perlawanan.
Skuad bimbingan Juan Antonio Pizzi itu turut mengalami kekalahan pada perlawanan pertama dimana mereka tunduk kepada Korea Selatan dengan keputusan 3-1.
Satu lagi perlawanan kumpulan E akan melibatkan Korea Selatan yang akan turun menentang Jordan dan pasukan yang berjaya memperoleh kemenangan akan mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terakhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram