[VIDEO] Pernah cecah nilai lebih 1 juta Euro, saham 3 pemain prolifik jatuh mendadak selepas sertai Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 26 Sep 2024

Ronnie pernah mencatatkan nilai hampir €2 juta ketika beraksi di Liga Arab Saudi pada 2019. — Agensi

BUKAN pertama kali buat bintang-bintang besar dalam bola sepak berkelana dalam Liga Malaysia (Liga M) sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Kebangkitan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dipimpin oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga berjaya menarik lebih ramai lagi pemain berkualiti dalam Liga Malaysia.

Bukan hanya Harimau Selatan, Selangor FC juga yang diterajui oleh Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah juga berjaya menarik minat bintang-bintang Amerika Selatan dan Asia untuk menyarung jersi Gergasi Merah.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Nazmi, ada lagi pengadil Malaysia pernah dapat pujian dari negara jiran

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hai Shin Tae-yong', bekas peledak gol Terengganu FC tawar diri sarung jersi Indonesia

Namun begitu, meskipun pemain-pemain ternama ini mendapat gaji yang lumayan berbanding kelab terdahulu, mereka terpaksa akur dengan beberapa kesan selepas menyertai Liga Malaysia.

Antara kesan yang mungkin diterima mereka ialah kompetitif dan kualiti yang jauh bezanya dengan liga-liga besar di Eropah ataupun benua Amerika.

Selepas kualiti liga menurun pastinya nilai pasaran semasa mereka juga mendapat kesan daripada menyertai Liga Malaysia selain daripada umur yang semakin meningkat.

Dengan itu, Majoriti senaraikan tiga pemain yang pernah mencecah nilai lebih Euro (€)1 juta sebelum menyertai Liga Malaysia:

1. Jordi Amat Maas

Jordi Amat Maas menyertai JDT secara percuma daripada kelab Belgium, KAS Eupen pada musim 2022 dengan nilai harga €1 juta (RM4 juta).

Pemain nasional Indonesia itu tidak pernah beraksi di Asia dengan JDT menjadi kelab pertamanya di benua ini.

Selepas banyak beraksi di La Liga (Liga Sepanyol) ia membantu Jordi untuk meningkatkan nilai pasaran semasanya sehingga mencecah lebih RM23 juta.

Namun selepas beraksi di Asia Tenggara nilai pasaran semasa Jordi semakin susut ditambah dengan faktor kecederaan dan umur yang meningkat.

Kini nilai pasaran semasa Jordi ialah lebih RM3 juta (€800,000).

2. Ronnie Alan Fernandez

Penyerang kesukaan ramai penyokong Selangor, Ronnie Alan Fernandez pernah merekodkan nilai pasaran semasa hampir €2 juta ketika beraksi di Liga Arab Saudi pada 2019.

Namun tanda harga Ronnie mula susut selepas sekembalinya ke negara kelahirannya iaitu Chile sebelum menyertai Bolivar pada 2023.

Selepas bertahan hanya semusim, Ronnie menyertai Selangor musim ini dengan tanda harga €450,000 (RM2 juta) secara percuma.

Ronnie masih mengekalkan tanda harga €450,000 dengan tampil cemerlang menjaringkan tujuh gol dan dua 'assist' dalam sembilan penampilan bersama Gergasi Merah.

3. Miguel Angel Cifuentes

Musim puncak dalam kariernya ialah ketika beraksi untuk Malaga CF yang mana waktu itu Miguel Angel Cifuentes mencatatkan nilai pasaran tepat €1 juta (RM4 juta).

Namun begitu, angka satu juta Euro itu tidak kekal lama sebaik sahaja Cifuentes dipinjamkan ke beberapa pasukan divisyen kedua Sepanyol sebelum menjadi ejen bebas pada 2022.

Diperkenalkan Liga Malaysia melalui TRW Kelantan FC nilai pasaran semasa Cifuentes terus menjunam selepas hampir dua musim dalam Liga Super.

Selepas menyertai Sabah FC, kini nilai pasaran semasa Cifuentes ialah lebih RM1 juta (€375,000). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram