Lepas 'titik' Harimau Malaya, jeneral Jordan tarik perhatian kelab Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 17 Jan 2024

Jordan menewaskan skuad kebangsaan dengan keputusan 4-0 dalam aksi pertama kempen Piala Asia.

SESIAPAPUN dalam kalangan penyokong Harimau Malaya pastinya tidak dapat mengelak daripada perasaan kecewa selepas melihat anak-anak buah Kim Pan-gon terpaksa akur dengan kualiti permainan dipamerkan Jordan pada aksi pertama mereka bagi kempen Piala Asia.

Dalam perlawanan itu, Malaysia terpaksa menelan pahit apabila tunduk 0-4 kepada pasukan yang menduduki ranking FIFA ke-87.

Walaupun pelbagai justifikasi yang diberikan, tetapi sudah pastinya dalam setiap perlawanan kemenangan adalah fokus utama dan tujuan bagi setiap pasukan yang bermain di semua peringkat kejohanan.

Malah kekalahan itu mungkin lebih dekat dengan peminat bola sepak tanah air disebabkan beberapa nama pemain Jordan pernah meniti di bibir peminat dek kerana pernah menyarung jersi pasukan tempatan dalam kancah Liga Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] Nazmi Faiz paling disiplin, Aidil Zafuan kongsi karakter lain Fernando Forestieri di JDT

Namun dengan persembahan terbaharu yang dipamerkan oleh Jordan, nampaknya sekali lagi menarik minat pasukan tempatan untuk memancing pemain mereka beraksi di Malaysia.

Perkhabaran terbaharu menunjukkan sudah ada pemain mereka kini sedang berada dalam radar sebuah pasukan tempatan untuk merealisasikan impian untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut dalam kancah Liga Super yang bakal dibuka secara rasmi Mei nanti.

Rajaei Ayed

Rajaei Ayed kini jadi buruan kelab Liga Super.

Antara yang disebut-sebut ialah membabitkan pemain tengah dari kelab Al-Hussein SC, Rajaei Ayed yang kini mendapat perhatian yang serius oleh pasukan tempatan itu.

Rajaei mula menyertai kelab tersebut sejak 26 April 2023 dan mempunyai reputasi yang amat memberansangkan dengan 31 penampilan dengan pasukan kebangsaan negara itu sejak 2014.

Setakat 22 penampilanya dalam kempen Piala AFC pula, beliau merekodkan satu jaringan dan pernah berkelana untuk beraksi dalam kancah liga Thai bersama kelab Ratchaburi FC pada 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram