[VIDEO] Lahir di Liverpool tapi 'buatan' akademi Man United, Malaysia dah jumpa pengganti Natxo Insa?


  • Podium
  • Ahad, 21 Jan 2024

Tom Sang menimba ilmu bola sepak di Akademi Manchester United.

PAHIT realiti yang perlu ditelan oleh seluruh penyokong bola sepak tanah air selepas Harimau Malaya ditewaskan Bahrain dengan keputusan 0-1 pada minit-minit akhir perlawanan.

Seluruh penyokong Malaysia pastinya kecewa apabila skuad kebangsaan sudah memberikan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata pada perlawanan tersebut.

Pada babak pertama perlawanan, anak-anak buah Kim Pan-gon beraksi baik apabila mampu menyekat asakan penyerang pihak lawan.

BACA LAGI: [VIDEO] Indonesia antara skuad termuda Piala Asia, di manakah Malaysia lepas tewas dengan Bahrain?

Namun bersambung babak kedua perlawanan, Pan-gon menukar sedikit taktikal dengan memasukkan Natxo Insa sekali gus corak permainan Harimau Malaya tidak begitu agresif selepas ketiadaan Syamer Kutty Abba.

Dengan persembahan hambar yang ditonjolkan Natxo, pemain berusia 37 tahun itu mendapat kritikan negatif daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan prestasinya.

Namun penyokong Harimau Malaya tidak perlu risau tentang calon pengganti Natxo apabila bekas pemain muda Manchester United yang kini beraksi bersama kelab divisyen tiga England, Port Vale iaitu Thomas Roy Sang didakwa mempunyai keturunan dengan negara ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran laman Instagram pencari bakat, Frfuturetalents, Tom Sang dikatakan mempunyai pertalian darah Malaysia melalui datuknya.

BACA LAGI: [VIDEO] Kualiti Malaysia masih rendah, ada syarat jika mahu ikut Indonesia buru pemain warisan gred A

Bersama Port Vale, Tom Sang menyarung jersi bernombor empat dan sering menjadi pilihan untuk memulakan perlawanan sebagai kesebelasan utama pasukan.

Untuk info, ayah Tom Sang iaitu Neil Sang adalah bekas pemain profesional di England.

"Thomas Roy Sang dilahirkan di Liverpool, United Kingdom. Dia didakwa mempunyai keturunan Malaysia melalui datuk dan neneknya.

"Bapanya ialah Neil Sang, bekas pemain bola sepak profesional di England," kata Frfuturetalents.

Tom Sang, merupakan tonggak utama Port Vale apabila sudah beraksi 32 perlawanan bersama pasukan itu dan menyumbang empat bantuan jaringan gol (assist).

Pemain berusia 24 tahun itu mampu beraksi di pelbagai posisi seperti pertahanan kanan, pertahanan tengah, sayap kanan dan posisi tengah bertahan.

Kebolehan yang dimiliki Tom Sang sudah pasti akan menjadi aset terbaik buat Harimau Malaya jika dipanggil ke dalam skuad kebangsaan untuk menggantikan Natxo Insa ataupun pemain-pemain yang sudah berusia satu masa nanti.

Namun semuanya terpulang kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melakukan risikan atau pelawaan kepada Tom Sang yang didakwa mempunyai hubungan dengan negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram