Anak jati Kedah hampir pasti tinggalkan Pantai Timur, kembali ke pangkal jalan


  • Podium
  • Khamis, 26 Sep 2024

Muhaimin yang diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai benteng terakhir KDN FC berjaya menjaga pintu gawang dengan baik apabila membantu Kijang Emas meraih kemenangan 1-0 berdepan PDRM FC Jun lalu.

NAMA penjaga gol Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Muhaimin Mohamad pastinya diingati penyokong domestik selepas ketangkasannya dalam menafikan percubaan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Pusingan 16 Piala FA Jun lalu.

Anak jati Kedah berkenaan menyelamatkan dua kali sepakan penalti iaitu daripada percubaan Juan Muniz dan Arif Aiman Hanapi.

Meksipun tewas 0-4 di tangan JDT dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor itu namun persembahan cemerlang Muhaimin mendapat pujian daripada penyokong tanah air.

BACA LAGI: Pilih kelab lain tak bantu bintang Sang Kenari, Sabah FC lari dari isu gaji

BACA LAGI: Hanya Haykal Danish paling menyerlah, skuad B-19 digesa serap semangat 'winning mentality'

Muhaimin

Muhaimin difahamkan akan kembali ke pangkuan Negeri Sembilan FC.

Bagaimanapun, penyokong Kijang Emas mungkin merasai kehilangan khidmatnya bagi musim ini kerana difahamkan dia akan dipinjamkan ke pasukan lain dalam masa terdekat.

Perpindahan tersebut dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X miliknya pada Khamis.

Difahamkan, penjaga gol berusia 33 tahun itu akan kembali memperkuatkan bekas pasukannya, Negeri Sembilan FC.

"Kelantan Darul Naim sahkan penjaga gol Muhaimin Mohamad dipinjamkan ke kelab Liga Super, difahamkan kembali ke Negeri Sembilan," tulisnya.

Untuk rekod, Muhaimin yang baru sahaja menyertai Kelantan pada awal musim ini memulakan karier bersama skuad remaja Sang Kenari pada 2010 namun kegagalan menembusi senarai pemain menyaksikan penghijrahan Muhaimin ke Kuala Lumpur City, PKNS, dan Felcra FC.

Kemuncak kariernya ialah pada musim 2019 apabila menjadi pilihan K. Devan untuk mengawal kubu Petaling Jaya City FC. Setelah itu, dia direkrut Felda sebelum ke Negeri Sembilan FC pada 2021 tetapi dilepaskan sebaik sahaja tamat musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram