[VIDEO] Sukan Paralimpik 2024: Bonnie pecah rekod dunia lagi


  • Podium
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan menghadirkan emas kedua buat kontinjen Malaysia. — GiarcNibisna

LAGU Negaraku sekali lagi berkumandang di bumi Paris selepas jaguh angkat berat paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin meraih pingat emas kedua buat Malaysia.

Jaguh powerlifting negara itu terus mengaum di pentas antarabangsa apabila sekali lagi memecah rekod dunia kategori 72 kilogram (kg) lelaki di Porte de La Chapelle Arena pada Jumaat.

Badang kerdil dari Sarawak itu cukup sukar digugat peserta lain sekali gus membolehkannya membawa pulang pingat emas untuk negara.

Dalam aksi final angkat berat tersebut, atlet kelahiran Sarawak itu berhasil memecahkan rekod dunia miliknya sendiri (231kg) dengan angkatan baru 232kg yang turut mencatatkan rekod temasya yang baru.

Dia melakukan angkatan pertama dengan 221kg sebelum memastikan emas miliknya di angkatan kedua dengan 226kg.

Angkatan ketiganya, 232kg cukup untuk menjadi penyumbang emas kedua temasya berprestij itu selepas Cheah Liek Hou.

Bonnie mengenepikan cabaran Hu Peng dari China yang memenangi pingat perak menerusi bebanan 214kg, manakala Donato Telesca dari Itali terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengangkat bebanan 213kg.

Terdahulu, jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou berjaya meraih pingat emas pertama bagi perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Isnin lalu sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Tokyo 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram