[VIDEO] Padah main atas landasan, 4 termasuk kanak-kanak Indonesia maut digilis kereta api


  • Benua
  • Isnin, 23 Sep 2024

Tangkap layar video memaparkan mangsa yang berada di tengah-tengah landasan kereta api sebelum digilis pada Ahad. — Agensi

SERAMAI empat orang maut digilis kereta api dalam kejadian di landasan kereta api Fajar Utama Solo, Kabupaten Karawang, Indonesia pada Ahad.

Empat mangsa itu terdiri daripada dua warga emas lelaki dan perempuan manakala dua lagi kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan sembilan tahun.

Kesemua identiti mangsa juga dapat dikenal pasti iaitu Sahaman, 63; Anita Andini, 37; Iksan, 7 dan Tedi Alfarizi, 9.

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi Haaland baling bola ke kepala Gabriel tidak disedari pengadil lepas Man City ikat Arsenal

BACA LAGI: [VIDEO] Angka korban serangan udara Israel di Lubnan meningkat

Dalam kejadian itu, Ted dilaporkan tersangkut di bawah gerabak dan terheret sehingga ke stesen Tanjungrasa, Subang, Indonesia.

Menerusi video tular di media sosial sejak Isnin, kesemua mangsa pada awalnya sedang berdiri di tengah-tengah landasan sebelum dirempuh kereta api beberapa minit kemudiannya.

Pengurus Kereta Api Indonesia, Rokhman Makin Zainul berkata, kereta api tersebut sudah memberi amaran awal dengan membunyikan hon dari jarak jauh.

Menurutnya,

"Ketika kejadian, kereta api Fajar Utama Solo dari arah Jakarta sudah membunyikan amaran berulang kali tetapi mangsa tidak berganjak daripada kawasan itu sehingga menyebabkan kemalangan.

"Landasan kereta api merupakan kawasan yang mempunyai undang-undang dan tidak membenarkan masyarakat untuk beraktiviti di sekitarnya," katanya.

Rokhman berkata, berada di tengah-tengah landasan kereta api juga merisiko keselamatan seperti yang tertakluk dalam Undang-Undang 23 2007 tentang kereta api.

Beliau pada masa sama menjelaskan bahawa mana-mana individu yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan tindakan tegas, dipenjara sekurang-kurangnya tiga bulan atau denda sehingga RM4,000 kerana melakukan jenayah.

"Kami harap agar masyarakat dapat saling bantu-membatu untuk memberi kesedaran dan menegur orang ramai apabila melihat situasi tersebut berlaku," katanya lagi.

Sementara itu, keempat-empat jenazah sudah dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram