[VIDEO] Kecederaan slip disc pemain China buat Sze Fei-Izzuddin suram rai kejayaan


  • Podium
  • Isnin, 23 Sep 2024

Sze Fei (kiri) dan Izzuddin tahu kecederaan dialami Xiangyu perlu diberikan lebih perhatian berbanding kejayaan bersejarah mereka.

KEMENANGAN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Ramsani di Terbuka China menamatkan penantian 35 tahun peminat badminton untuk menyaksikan kejayaan sedemikian.

Ini kerana kali terakhir wakil negara merekodkan pencapaian itu adalah pada edisi 1989 ketika pasangan adik beradik Jalani Sidek dan Razif Sidek memenanginya.

Jadi, tidak hairanlah apabila kejayaan Sze Fei-Izzuddin amat diraikan dengan beregu tersebut menundukkan wakil tuan rumah Ren Xiangyu-He Jiting di China pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Pecah tembok besar, Sze Fei-Izzuddin juara Terbuka China 2024

BACA LAGI: Sze Fei-Izzuddin ikut jejak pasangan Soon Huat-Shevon ke final Terbuka China

Bagaimanapun, keraian secara sederhana disaksikan kerana masing-masing lebih khuatir akan keadaan Xiangyu yang mengalami kecederaan belakang pada penghujung set pertama.

Situasi itu sedikit merisaukan disebabkan masalah terhadap tulang belakang boleh mendesak pemain berusia 25 tahun tersebut menamatkan karier lebih awal.

Lebih menggusarkan lagi, keadaan itu dikhuatiri akan mengundang padah lebih serius terhadap kehidupannya jika gagal menerima rawatan terbaik.

"Saya rasa ini bukanlah cara kemenangan yang kami mahukan. Kami harap Xiangyu dapat sembuh dengan segera. Kami hanya fokus dengan cara kami boleh meneruskan aksi terbaik sahaja," kata Sze Fei selepas aksi tersebut dengan riak wajah sedikit merisaukan.

Kecederaan dialami Xiangyu itu menyaksikannya menerima rawatan segera di tepi gelanggang, namun bantuan itu diberikan pihak fisioterapi pasukan dan bukan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Berdasarkan klip dikongsikan orang ramai, pemain berkenaan seperti mengalami gelinciran cakera tulang belakang atau lebih dikenali sebagai 'slipped disc'.

Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak menarik diri dengan keputusan berkenaan gagal memastikan kemenangan dibawa pulang selepas Sze Fei-Izzuddin mencatatkan keputusan 13-21, 21-12, 21-17.

Ini juga menyaksikan gandingan itu meraih kemenangan sulung dalam siri Super 1000 selepas berkali-kali mencuba mencipta nama dalam pelbagai pertandingan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram