[VIDEO] Pecah tembok besar, Sze Fei-Izzuddin juara Terbuka China 2024


  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Gandingan profesional itu meraih gelaran juara acara beregu lelaki.

BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mempamer kebangkitan epik untuk menewaskan gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu sekali gus mengungguli Terbuka China pada Ahad.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Malaysia akhirnya memecahkan tembok penghadang Terbuka China sejak sekian lama apabila menaiki podium pemenang beregu lelaki.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu bangkit dari kekalahan set pertama dengan memenangi dua set berikutnya untuk mengatasi wakil tuan rumah yang juga pilihan kelima, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 13-21, 21-12, 21-17 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.

BACA LAGI: Milunovic wira tidak disangka-sangka akhiri kebuntuan Perak FC di tempat sendiri

BACA LAGI: [VIDEO] KL Thunder ancaman utama, coach Selangor Pistons kongsi taktikal 'bahaya' aksi GP Terengganu

Pada aksi final, Izzuddin-Sze Fei dilihat 'lambat panas' apabila membenarkan lawan mendahului dengan jurang mata 6-0 sekali gus tewas 13-21 pada set pertama.

Begitupun, berbekalkan dengan semangat juang yang tinggi, beregu negara itu akhirnya membuat kebangkitan drastik selepas berjaya meraih kemenangan pada set kedua dan mengheret aksi tersebut ke set penentuan.

Dalam set penentuan, Izzuddin-Sze Fei dilihat tidak menunggu lama untuk membuat serangan kepada lawan dan meraih kemenangan 21-17.

Pencapaian itu sekali gus menyaksikan Izzuddin-Sze Fei menamatkan kemarau 35 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan gandingan adik beradik, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif pada edisi 1989. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram