PENANG FC hampir menunjukkan taring di laman sendiri sebelum Negeri Sembilan FC (NSFC) bangkit mencari gol penyamaan yang menyaksikan keputusan seri 2-2 berakhir dalam aksi Liga Super 2024 di Stadium Bandaraya dekat George Town Pulau Pinang, Ahad.
Sebelum meledak dua jaringan pada separuh masa pertama, kem Harimau Kumbang terlebih dahulu dikejutkan dengan gol seawal minit pertama menerusi jaringan sendiri dari bek Penang, Aqil Irfanuddin.
Tidak terbuai dengan kesilapan itu, skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu dilihat menunjukkan rentak cemerlang dan berhasil menemui gol penyamaan menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, Rodrigo Dias.
BACA LAGI: Prestasi jatuh menjunam lepas Olimpik, Zii Jia perlu lebih konsisten capai misi 2028
Kesilapan benteng pertahanan skuad Jang Hobin Jang berhasil dimanfaatkan sebaiknya oleh penyerang berkenaan sebaik menerima umpanan dari Syahiran bin Nik Mat pada minit ke-13.
Dua minit kemudian, bintang baharu Harimau Kumbang iaitu Dylan Wenzel-Halls berhasil membuka akaun gol peri untuk saingan Liga Super musim ini selepas penyudah tenangnya menewaskan Aqil Abdul Razak.
Penghujung babak kecederaan masa pertama, rembatan kencang dari pemain yang baru ditandatangani Negeri Sembilan, Sebastian Avanzini berhasil meletakkan keputusan seri 2-2 sebelum ke bilik persalinan.
Menjengah ruangan komen di media sosial, penyokong Harimau Kumbang berharap agar Akmal Rizal memasukkan Adib Ra'op di separuh masa kedua bagi menambah sengat di bahagian sayap kiri.
Masakan tidak, bek kiri itu sebelum ini yang akan menjadi watak menggerakkan bahagian serangan dengan Adib akan membawa bola dari belakang sehingga ke hadapan untuk mencipta percubaan buat pasukan.
Seolah-olah rintihan penyokong didengari, Akmal Rizal akhirnya menurunkan Adib sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua namun khidmat tidak berhasil membantu Harimau Kumbang mendapatkan gol kemenangan.
Separuh masa kedua permainan dihiasi dengan percubaan demi percubaan dari barisan pemain Harimau Kumbang dan Negeri Sembilan namun kesemuanya gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan gol.
Walaupun pengadil memberi enam minit masa tambahan, perlawanan akhirnya menyaksikan kedua-duanya hanya berkongsi satu mata sehingga wisel penamat dibunyikan pada minit ke-98.
Situasi menyaksikan Penang kempunan untuk memanfaatkan kemenangan di laman sendiri itu membuatkan ada penyokong Harimau Kumbang meletakkan kesalahan di bahu Sikh Izhan yang membiarkan gawang mereka dibolosi sebanyak dua kali.
"Penjaga gol kenapa boleh blur sangat, sampai terlepas gol kedua. Gol itu bukan susah pun tapi Sikh Izhan buat silap," kata penyokong Penang FC, Muhd Nabil.
"Sikh Izhan terlalu selesa? Setiap perlawanan dia yang main kan, sampai lupa nak tangkap bola," tambah penyokong Penang FC, Ayie Azzahari.
Keputusan seri itu menyaksikan Penang ketika ini berada di kedudukan kesembilan carta liga dengan 11 mata, manakala Negeri Sembilan pula mengutip lima mata di tangga ke-12. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram