BILA sebut pasal ragbi mesti fikiran kita terarah kepada kecederaan serius seperti patah tangan, bahu atau anggota badan yang lain.
Pemikiran itu terbentuk selepas kita melihat aksi ganas yang dimainkan dalam sukan ragbi apabila sekumpulan pemain merebut bola menggunakan badan dan tolak pihak lawan sehingga jatuh ke tanah.
Malah ada juga aksi 'tackle' pemain yang sedang berlari demi merampas sebiji bola untuk memenangi perlawanan.
BACA LAGI: Beraksi di Piala Dunia, Saho desak KBS, MSN bantu promosi ragbi sentuh seperti futsal
BACA LAGI: Ragbi sentuh lebih selamat, beri persediaan buat pemain cilik masuk fasa lasak
Namun begitu di zaman moden ini, ragbi juga mengikuti peredaran masa untuk menyesuaikan sukan itu kepada masyarakat supaya dapat diterima oleh orang ramai.
Antaranya ialah ragbi sentuh yang melibatkan pelanggaran atau sentuhan minimum serta tidak berbahaya.
Ragbi sentuh juga dimainkan sebagai aktiviti latihan bagi liga dan kesatuan ragbi sebagai kelainan kepada sukan yang lebih selamat, terutamanya di sekolah dan peringkat akar umbi sebagai sukan sosial bukan formal.
Hazwan (kiri) sedang merawat pemain ragbi kebangsaan.
Menurut Pengarah Perubatan dan Kebajikan Pemain Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Dr. Muhammad Hazwan Khair berkata, ragbi sentuh juga boleh mendatangkan kecederaan tetapi dalam kadar yang minimal dan sesuai untuk dimainkan oleh kanak-kanak.
"Ragbi sentuh adalah variasi sukan ragbi yang melibatkan kontak yang minimal. Peraturan asas permainan adalah lebih kepada kod 'rugby league' berbanding kod ragbi yang biasa dimainkan di Malaysia iaitu 'rugby union'.
"Ragbi sentuh ini masih diklasifikasikan sebagai 'contact sport' namun begitu ia melibatkan sentuhan yang minimal. Jadi sudah pasti ia lebih sesuai sebagai pengenalan kepada sukan berpasukan untuk kanak-kanak.
"Dari segi keselamatan, risiko kecederaan yang disebabkan perlanggaran tetap ada, tetapi risikonya adalah lebih rendah. Namun yang demikian, risiko kecederaan 'non-contact' dan 'overuse' adalah sama seperti sukan-sukan lain," katanya kepada Majoriti.
Ragbi sentuh lebih selamat dimainkan untuk peringkat kanak-kanak sekolah rendah.
Tambahnya lagi, rabgi sentuh juga boleh menjadi platform untuk individu yang mahu berjinak-jinak dalam sukan itu sambil belajar secara dekat untuk menangkis stigma sukan itu berbahaya.
"Ragbi sentuh menjadi potensi kepada sesiapa untuk berjinak-jinak sukan ragbi, dan pada masa yang sama mempelajari asas fundamental dari segi pergerakan, larian, kawalan bola sukan ragbi.
"Ia juga membolehkan seseorang mendapat suaian fizikal asas untuk bermain ragbi - dan seterusnya memberi peluang jika seseorang itu mahu, untuk terus mengenali kod-kod ragbi yang melibatkan perlanggaran seperti 'rugby league'.
"Seperti yang kita tahu, ragbi memerlukan kekuatan dan suaian fizikal diri yang mampan. Ia juga merupakan satu sukan yang boleh dimainkan tidak mengambil kira saiz badan seseorang, namun yang demikian dengan latihan yang sewajarnya mampu mengoptimumkan semua komponen kecergasan seperti kekuatan dan ketahanan otot, fleksibiliti dan mobiliti sendi serta kapasiti aerobik," jelasnya lagi.
Dr Hazwan yang turut merupakan Ketua Perubatan Sukan Selangor FC juga menyokong usaha Persatuan Ragbi Sentuh Malaysia (MTA) untuk memperkenalkan lebih mendalam ragbi sentuh di peringkat sekolah.
"Saya amat menggalakkan penglibatan di dalam ragbi sentuh sama seperti mana-mana sukan lain.
"Faktor dan risiko kecederaan dan keselamatan adalah relatif - bergantung kepada persediaan penglibatan di dalam satu-satu sukan. Contoh persediaan adalah seperti tenaga kejurulatihan yang kompeten tentang teknik permainan, suaian fizikal serta periodisasi latihan memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kecederaan.
"Selain daripada itu, pengetahuan mengenai bantuan asas perubatan semasa di padang semua yang terlibat di dalam sukan ini serta penyediaan alatan asas perubatan menjadikan sukan ini lebih selamat.
"Saya menyokong sepenuhnya usaha MTA. Ia menjadi suatu platform untuk menjadikan belia dan kanak-kanak di Malaysia lebih aktif dan berminat dalam penglibatan aktiviti-aktiviti sihat.
"Namun diharapkan agar, usaha mengembangkan sukan ini bukan hanya kepada aspek permainan dan teknikal, tetapi perlu juga pendidikan dalam penjagaan diri di dalam sukan seperti aspek 'recovery' dan rehabilitasi dari kecederaan dalam sukan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram