Hero Kedah antara 3 pemain perlu dipertimbang jumpa New Zealand


Halim (depan) berhasil membuka akaun gol pertama pada aksi menentang Sri Pahang baru-baru ini. — Facebook/KDAFC

PENYOKONG bola sepak domestik umum mengetahui skuad Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-94 dunia, New Zealand pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour dekat Auckland, New Zealand 14 Oktober ini.

Perkembangan itu disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada 30 Ogos lalu yang memaklumkan perlawanan itu bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA pada 7 hingga 15 Oktober 2024.

BACA LAGI: Dua gol kaki kiri 'budak ajaib' JDT hampir buat Juara Liga Super China terduduk di gelanggang sendiri

BACA LAGI: 'Dulu kawan kini lawan', Bergson bakal bertemu bekas rakan sepasukan dalam aksi JDT-Shanghai Port

"Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu New Zealand ialah 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006.

"Ia kemudiannya tewas 2-1 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006," kata badan induk berkenaan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada penghujung Ogos lalu.

Sejak berita tersebut disahkan oleh badan induk berkenaan, penyokong skuad kebangsaan sudah mula membayangkan pemain yang bakal dipanggil oleh pengendali interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente

Sejak dilantik menjadi ketua jurulatih sementara pada Ogos lalu, jurulatih kelahiran Sepanyol itu sudah memberi satu trofi iaitu kemenangan ke atas Lubnan dengan keputusan 1-0 dalam aksi akhir Pestabola Merdeka 2024.

isi dalam HM

Harimau Malaya ketika dinobatkan sebagai juara Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM

Dengan taktikal DNA Sepanyol yang diterapkan dan pemilihan pemain gred A, ramai penyokong sudah mula memberi kepercayaan kepada Pau Marti untuk mengemudi Harimau Malaya selepas ini.

Bagaimanapun, ada juga yang masih berharap agar Pau Marti memberi peluang kepada beberapa pemain seperti Akram Mahinan (Terengganu FC), Azim Al-Amin (Selangor FC) dan juga Halim Saari dari Kedah Darul Aman (KDA FC).

Ketiga-tiga pemain itu dipilih berdasarkan persembahan cemerlang mereka baru-baru ini di saingan Liga Super dengan mereka berhasil memanfatkan peluang kesebelasatan utama yang diberikan jurulatih masing-masing.

Pemain tengah Sang Kenari, Halim berhasil membuka akaun gol pertama pada aksi menentang Sri Pahang baru-baru ini dengan ia merupakan permulaan pertama buatnya sejak menyertai Kedah pada awal musim 2023.

AZIM AZIM

Azim mempamer persembahan baik berdepan Muangtong. — Facebook/SelangorFC

Manakala, penjaga gol Selangor iaitu Azim Al-Amin dilihat tidak kekok sewaktu penampilan pertamanya di pentas Asia menentang Muangthong United dari Thailand dengan dia cemerlang melakukan beberapa tepisan penting untuk menjaga gawang Selangor.

Hasil aksi cemerlang Azim, Gergasi Merah berhasil memperoleh satu mata berharga selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) berkenaan.

Satu lagi pemain yang diharap akan menjadi pertaruhan Pau Marti ialah Akram Mahinan selepas arkitek itu bermain cemerlang dalam aksi 90 minit menentang Sabah FC, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 pada 15 September lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram