[VIDEO] Setaraf legenda Argentina JDT, gol di Paroi jadi kenangan paling manis Forestieri


  • Podium
  • Sabtu, 21 Sep 2024

Forestieri (kiri) meledak 50 gol untuk Harimau Selatan sejak menyarung jersi JDT pada musim 2022. — Facebook/JDT

SELEPAS hampir beberapa minggu berteka-teki mengenai nasib pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Fernando Forestieri, penyerang sayap itu akhirnya buka mulut mengenai statusnya apabila mengesahkan perpisahannya bersama Harimau Selatan.

Perkara ini diumumkan oleh Forestieri di laman media sosial miliknya yang mana pemain antarabangsa Argentina itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya ketika bergelar pemain JDT selama dua musim.

BACA LAGI: [VIDEO] Forestieri ubati kerinduan fans kelab lama di England, moga berulang bersama JDT

BACA LAGI: Lepas jadi rebutan kelab Timur Tengah, Forestieri dapat tawaran kelab Messi

“Sukar untuk saya mengucapkan selamat tinggal tetapi ini adalah bola sepak. Saya ingin mengucapkan banyak terima kasih untuk beberapa tahun yang menakjubkan ini di JDT.

“Kepada Kiko (Insa), Martin, Alistair (Edwards), kakitangan perubatan, kakitangan teknikal, penganalisis, pengurus pasukan, kakitangan pemasaran, pakar pemakanan, kitman, tukang kebun, tukang cuci, tukang masak, staf keselamatan, dan semua orang di belakang tabir, terutamanya rakan sepasukan, yang akan sentiasa saya hargai kenangan bersama anda semua!

“Terima kasih kepada peminat kerana sentiasa menyokong saya! Saya akan selamanya berterima kasih kepada bos (Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor) dan keluarganya yang sentiasa menjaga saya dan keluarga saya! Hati saya akan sentiasa berada di Johor,” tulis Fernando Forestieri.

Ucapan selamat tinggal itu turut menerima maklum balas daripada beberapa pemain JDT seperti Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad, Shane Lowry dan pemilik kelab JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor turut sempat menitip kata-kata terakhir di laman Instagram Forestieri.

“Sentiasa sebahagian daripada keluarga JDT. Sayang kamu Fer, ” ujar Tunku Ismail.

Ruangan komen pemain berusia 34 tahun itu juga dibanjiri dengan ucapan penghargaan daripada penyokong Harimau Selatan dengan ada di antara mereka meletakkan Forestieri sebaris legenda import Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera, yang pernah berkhidmat untuk JDT pada 2017 hingga 2021.

Pemain kelahiran Argentina itu antara bintang import terbaik sepanjang zaman JDT apabila Cabrera menjaringkan 43 gol sepanjang bersama JDT bagi saingan Liga Super dan juga 66 gol dalam semua pertandingan menerusi 152 penampilan sejak musim 2017.

Selain itu, penyokong juga menjadikan gol babak akhir dalam kemenangan dramatik 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman dekat Paroi, Negeri Sembilan pada 2022 menjadi kenangan paling sukar dilupakan.

Bertambah manis apabila gol kemenangan itu menyaksikan Forestieri dilihat menyertai keraian di curva penyokong, Boys Of Straits (BOS) sambil menjerit penuh keterujaan sehingga menarik-narik rambut salah seorang penyokong ketika melempiaskan kepuasannya meledak gol berkenaan.

“Pemain kegemaran setakat ini selepas Cabrera. Terima kasih atas kerja keras dan jaga diri Forestieri. Kami akan rindukan awak,” kata penyokong Harimau Selatan, Amirsofii.

“Kenangan di Paroi, Forestieri cetak gol minit akhir. Terima kasih,” tambah penyokong JDT, Adzwa_bohary.

“Gol paling mahal dalam ingatan setiap penyokong JDT semasa Forestieri ledak gol di Paroi,” ujar penyokong Harimau Selatan, Ivanz8.

Terdahulu, pemain sayap berkenaan dikesan terlibat dalam sesi latihan pasukan Watford B-21 Tahun dan difahamkan Forestieri berlatih untuk mencapai tahap kecergasan terbaiknya sehingga menimbulkan spekulasi mengenai masa depannya.

Aksi terakhir Forestieri bersama Harimau Selatan adalah ketika menentang Kelantan Darul Naim pada bulan Jun di Stadium Sultan Ibrahim dan dia turut menjaringkan gol pada minit ke-44. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram