
AKSI Liga Super antara pasukan PDRM FC menentang Sabah FC di Stadium Selayang dekat Selayang, Selangor pada Sabtu menyaksikan tiada sebarang jaringan gol berhasil dicetak oleh kedua-dua pasukan.
Pada awal perlawanan lagi, penyokong dapat menyaksikan pasukan tuan rumah dan pelawat begitu bersemangat memburu gol dengan gerak-gerak berbahaya dilakukan oleh jentera serangan masing-masing.
Namun, kredit wajar diberikan kepada penjaga gol The Rhinos, Damien Lim dan penjaga gawang Sang Saka Biru iaitu Bryan See kerana ketangkasan mereka dalam menjaga maruah pasukan pada separuh masa pertama.
BACA LAGI: Dulu beraksi di ACL, kini bintang Sabah, Kedah, Terengganu hanya jadi penonton
BACA LAGI: Sabah, Kuching, Terengganu untung besar jika sambar bintang tinggalkan Kedah
Antara aksi percubaan yang berhasil diselamatkan ialah ketika Damien menafikan tendangan kencang Bruno Suzuki pada minit ke-26. Sementara, Bryan pula pantas menyelamatkan percubaan Jafri Chew pada minit ke-31.
Perlawanan di Selayang itu juga diselit dengan aksi kontroversi apabila penyerang baharu Sabah, Joao Pedro hampir mengalami kecederaan selepas Timothy Oluwaseun cuba untuk melakukan terjahan pada minit ke-18.
Begitupun, tiada sebarang kad dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal. Layangan kad kuning pertama sebaliknya diberikan kepada Daniel Ting apabila bek kiri Sabah itu dilihat cuba menolak Safiee Ahmad pada minit ke-37.
Babak perlawanan pertama juga ditutup dengan layangan kad kuning kepada satu lagi tonggak Sabah iaitu Telmo Castanheira yang dikesan cuba menjatuhkan Oluwaseun pada minit ke-46.
Selepas 35 minit berjuang di separuh kedua dengan pelbagai percubaan demi percubaan dilakukan, pemain gantian, Ifedayo berhasil meletak gol pertama perlawanan menerusi hantaran dari Hadi Fayyadh pada minit ke-80.
Dari bahagian pertahanan turun ke jentera serangan demi mencari gol penyamaan, anak-anak buat Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun tidak berhasil mencuri sekurang-kurangnya satu mata di Selayang.
Kekalahan tipis berkenaan menyaksikan Sabah ketika ini berada di kedudukan kelima carta liga dengan 14 mata, manakala skuad kendalian P. Maniam yang turut mengumpul mata sama di tangga keenam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram