[VIDEO] Tangisan air mata iringi kejayaan Raja Nur Aimi pecahkan rekod 26 tahun MSSS


  • Podium
  • Khamis, 05 Sep 2024

Raja Nur Ain meminati sukan olahraga sejak kecil dan kini dia dalam persiapan untuk ke MSSM.

TANGISAN kemenangan mengiringi wakil kontinjen Petaling Perdana, Raja Nur Aimi Raja Muhamad Baddiuzzaman apabila lompatannya berhasil mencatatkan rekod baharu di saingan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan-Sukan Selangor (MSSS) yang berlangsung dekat Klang, Selangor pada Khamis.

Raja Nur Aimi bukan sahaja berjaya memecahkan rekod kejohanan tahunan tersebut, malah berhasil mara ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan.

Atlet berusia 12 tahun itu mencatat jarak lompatan sejauh 4.73 meter (m) sekali guys mengatasi rekod 26 tahun lepas yang sebelumnya dipegang oleh Tan May Lee pada MSSS 1998.

BACA LAGI: [VIDEO] Warga Armenia puji penganjuran MSSS, gembira anak disenangi atlet Selangor

BACA LAGI: 'Dah berlatih gila-gila', atlet Petaling Perdana lega sukses pecahkan rekod lompat tinggi 42 tahun MSSS

Dia yang hampir berputus asa dengan lompatan pertamanya itu bangkit memberikan persembahan cemerlang selepas mendengar kata-kata dorongan dari ibu bapanya dan tenaga pengajar kontinjen Petaling Perdana.

"Sangat gembira sebab tadi lompatan pertama tak jauh sangat, selepas itu hampir putus asa tetapi ayah, ibu dan cikgu cakap boleh. Lompat yang boleh pecah rekod tadi buat saya gembira sangat sampai nangis tadi.

"Tadi masa lompatan ketiga dapat yang pecah rekod, saya dapat 4.73 meter kalahkan rekod 1998. Saya tak jangka sebab lompatan satu tak bagus. Cikgu beritahu tips pada minit akhir," katanya kepada Majoriti selepas acara lompat jauh kategori P4 pada Khamis.

'Ubi muda' yang juga menyertai acara 100m, 4x100, 4x200 itu sudah cukup teruja membayangkan hakikat akhirnya dia akan mewakili Selangor ke Perak sebagai tuan rumah kejohanan MSS Malaysia pada 18 hingga 25 Oktober depan.

Sebelum kejohanan penting itu, Raja Nur Aimi mahu mendapatkan rehat secukupnya dan akan memulakan latihan lebih efisien bagi mencipta lagi rekod dalam kejohanan tahunan tersebut.

"Semalam (Rabu) cikgu cakap saya dapat masuk MSSM relay dan hari ini (Khamis) dapat MSSM lompat jauh. Persediaan awal saya nak rehat dulu sebab risau kaki saya tak boleh lompat nanti.

"Saya akan mulakan latihan padat setelah berehat. Terima kasih kepada ibu bapa dan cikgu Petaling Perdana, terima kasih sangat semua," jelas atlet cilik tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram