KEJOHANAN Olahraga Sukan Sekolah Selangor (MSSS) 2024 yang sedang dianjurkan dari 2 September lalu sehingga hari ini menyaksikan sebanyak 10 kontinjen daripada negeri berkenaan bertanding bagi merebut gelaran raja balapan dan padang pada tahun ini.
Sebanyak 10 daerah yang bertanding pada kejohanan MSSS tahun ini Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling Perdana, Petaling Utama, Sabak Bernam dan Sepang.
Menarik mengenai temasya kali ini, bukan hanya kelibat anak-anak tempatan dilihat ikut serta mewakili daerah masing-masing berikutan ia juga turut menerima pelajar bukan Malaysia yang belajar di sekolah antarabangsa.
BACA LAGI: Detik jadi pemisah, anak legenda JDT terkandas di separuh akhir MSSS 2024
BACA LAGI: Dua rekod lebih 20 tahun masih belum lebur, anak legenda JDT jadi tumpuan MSSS 2024
Salah seorang pelajar luar negara yang menyertai kejohanan MSSS 2024 ialah Edmon Petrosyan dengan dia mewakili kontinjen Petaling Perdana hasil bersekolah di Sri Kuala Lumpur International School.
Bercakap mengenai pengalaman bermain di kejohanan domestik, ayahnya, Emil Petrosyan mengakui gembira anaknya diterima baik oleh pelajar tempatan meskipun bertaraf bukan warganegara.
Emil yang sudah menetap di Malaysia sejak 2008 juga akui bahawa penganjuran MSSS sangat berfungsi untuk memberi pendedahan kepada atlet muda dan dia turut memuji sikap kepimpinan yang dimainkan oleh para tenaga pengajar.
Emil Petrosyan gembira anaknya diterima baik oleh pelajar tempatan.
"MSSM ini memang acara yang tersusun, saya sangat kagum dengan persembahan atlet di Selangor. Dedikasi daripada semua jurulatih dan guru yang memberi motivasi kepada pelajar-pelajar juga sangat baik. Mereka bukan semata-mata melatih.
"Atlet nampak sangat bersedia untuk acara ini. Anak saya menyertai acara lontar peluru, ini kali kedua dia menyertai MSSS. Kami memang sasarkan keputusan yang baik dan hari ini dia dapat nombor empat.
"Di sini (MSSS) memang ada 'par' yang anak saya perlu naikkan jika mahu tandingi atlet lain," kata bekas atlet angkat berat itu kepada Majoriti selepas acara lontar peluru kategori L1 pada Khamis.
Dalam pada itu, Edmon yang berada di kedudukan keempat dalam acara berkenaan enggan terus kecewa dengan keputusan tersebut namun sebaliknya mahu menikmati tahun terakhirnya bersama MSSS.
"Saya dapat 12.44 m, saya rasa saya boleh buat lebih baik. Saya dah cuba sebaiknya tapi kita pun faham sukan kan. Ini tahun terakhir saya di MSSS, jadi saya kena menikmati momen ini bersama kawan-kawan.
"Bila saya mula latihan, sebulan lalu saya sasar nak dapatkan 11.5 tapi saya dapat lebih. Saya sedar saya tidak boleh ke MSSM sebab tiada IC (kad pengenalan) tapi dapat menyertai MSSS, memang rasa bangga dan gembira dapat bermain bersama atlet Malaysia.
"Apabila mula MSSD, saya pemalu tapi tahun ini semua atlet menerima saya. Walaupun kenal beberapa jam, mereka dah ramah dengan saya. Saya akan cuba teruskan berhubung dengan mereka," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram