ATLET olahraga Hulu Selangor, Nur Arissa Qaseh Mohd Noor Hafiszal tidak boleh dinafikan kehebatannya dalam acara padang apabila meraih tiga pingat emas dalam rejam lembing, lontar peluru dan lempar cakera pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024.
Menerusi ketiga-tiga acara padang itu, Arissa Qaseh paling menyerlah dalam acara rejam lembing kategori P3 apabila mencatat rejaman sejauh 30.84 meter (m) sekali gus menjadi rekod terbaru bagi temasya tahunan berkenaan.
Anak jati Rawang, Selangor itu akhirnya mencantas pencapaian terbaik rejam lembing yang dipegang oleh Siti Norizma Kosin dari kontinjen Sabak Bernam ketika MSSS 2020 dengan rekod 30.38m.
BACA LAGI: Detik jadi pemisah, anak legenda JDT terkandas di separuh akhir MSSS 2024
Menurutnya, impian untuk memecah rekod terbaik MSSS tercapai berikutan atlet berusia 13 tahun itu memang berazam untuk berbuat demikian demi mengharumkan kontinjen Hulu Selangor.
"Alhamdulillah saya dapat pecahkan rekod kejohanan tahun ini. Saya bangga dengan usaha yang saya buat. Terima kasih kepada jurulatih, ibu bapa dan kawan-kawan.
"Dari minggu lepas saya memang nak pecahkan rekod dan saya memang nak ke Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Saya memang nak wakil kebangsaan untuk Malaysia. Terima kasih kepada semua pasukan Hulu Selangor," katanya.
Sebelum ini, Arissa Qaseh dari Sekolah Sukan Negeri merupakan pemecah rekod acara padang dalam Kejohanan Majlis Sukan-sukan Peringkat Daerah (MSSD) Hulu Selangor ke-52 2024.
Arissa Qaseh melakar sejarah tersendiri apabila memecah tiga rekod kejohanan dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan rejam lembing.
Dia kini merupakan memegang tiga rekod dalam acara lontar peluru dengan rekod 8.83m, acara lempar cakera (26.60m) dan rejam lembing (27.37m) bagi kategori P3 (menengah rendah).
Rekod lontar peluru sebelum ini adalah 8.45m, lempar cakera (23.49m) dan rejam lembing (22.04m). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram