AKSI suku akhir kedua Malaysia Futsal Cup (MFC) antara Pahang Rangers FC menentang Kedah pada Isnin diwarnai dengan kontroversi keputusan pengadil melayangkan kad merah terhadap pemain tuan rumah, Felipe De Souza.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang, pengadil pada awalnya memberikan kad kuning kedua yang membawa kepada layangan kad merah kepada Felipe dipercayai kerana cara sambutannya meraikan jaringan gol.
Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pengurusan Pahang Rangers FC yang tampil mempertikaikan tindakan tersebut kerana menganggap pemain itu hanya meraikan jaringan dengan cara biasa.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Berdasarkan klip yang tular, Felipe dilihat hanya berdiri di atas blok papan iklan dengan menghadap penyokong pasukannya sambil meletakkan kedua-dua tangannya di telinga sebagai tanda mahu mendengar sorakan diberikan.
Tindakan bertambah panas apabila beberapa pegawai pasukan tuan rumah dilihat bertikam mulut dengan pengadil perlawanan sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka turut menerima layangan kad kuning.
Situasi tegang itu berlarutan selama beberapa minit dengan pengadil dipercayai gagal untuk memberikan penjelasan memuaskan berhubung tindakannya melayangkan kad kuning terhadap ayam tambatan skuad Pahang Rangers FC
Perkara itu difahamkan turut menyebabkan penglibatan individu dipercayai pegawai penilaian pengadil yang berada di tempat duduk penyokong untuk turun ke gelanggang bagi memberikan nasihat.
Tangkap layar video memaparkan pegawai pasukan Pahang Rangers FC yang tampil mempersoalkan keputusan dibuat pengadil perlawanan.
Bagaimanapun, situasi yang agak pelik berlaku apabila penilai pengadil terbabit dilihat dihalang oleh petugas keselamatan kerana menyangkanya sebagai penceroboh.
Malah, dia juga terpaksa bergelut dengan pegawai keselamatan dan cuba ditolak keluar dari gelanggang permainan.
Kekeliruan terbabit kemudiannya dapat diselesaikan dengan penilai pengadil berkenaan yang memakai baju kemeja-T berwarna putih dilihat dibenarkan berjalan memasuki gelanggang ke arah pengadil perlawanan untuk melakukan perbincangan.
Selepas beberapa kali perbincangan, kad merah tersebut kemudiannya dilaporkan ditarik balik.
"Pengadil buat keputusan kontroversi, layangkan kad kuning kedua kepada import Pahang Rangers waktu raikan gol. Alasan apa, tak tahu. Benda tak pernah berlaku, penilai pengadil yang duduk kat atas terpaksa turun ke bawah untuk selesaikan kecelaruan.
"Tapi petugas keselamatan pula tahan dia tak bagi dia masuk sebab ingatkan dia penceroboh stadium. Saksikanlah sendiri kesudahannya. Futsal atau bola sepak, tak sah kalau tiada kontroversi atau kisah-kisah lucu," tulis Otai Sukan yang turut memuat naik video memaparkan insiden terbabit.
Individu (bulatan merah) dipercayai pegawai penilaian pengadil dilihat ditahan oleh petugas keselamatan kerana disangka sebagai penceroboh.
Dalam aksi tersebut, Pahang Rangers FC yang juga juara bertahan MFC berjaya menang 6-3 ke atas Kedah selepas mengharungi waktu tambahan sekali gus mara ke separuh akhir menerusi agregat 9-6.
Pahang Rangers FC akan menentang naib juara Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), Selangor FC dalam aksi separuh akhir yang akan berlangsung pada 21 September depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram