[VIDEO] Muka pengadil ditumbuk, perlawanan terpaksa dihentikan seketika di Indonesia


  • Podium
  • Ahad, 15 Sep 2024

Tangkap layar memaparkan detik-detik pemain Sulawesi Tengah (kanan) memukul muka pengadil perlawanan.

KANCAH bola sepak Indonesia digemparkan dengan insiden kurang menyenangkan apabila salah seorang pemain Sulawesi Tengah bertindak memukul muka pengadil perlawanan.

Dipercayai, insiden tersebut tercetus dalam aksi suku akhir saingan bola sepak Pekan Olahraga Nasional (PON) XX1 Aceh-Sumut antara pasukan Aceh dan Sulawesi Tengah dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Dimurthala, Banda Aceh, Indonesia.

Menerusi satu hantaran video yang tular di laman X, pergaduhan tersebut tercetus apabila pengadil perlawanan, Eko Agus Sugiharto memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah apabila mendapati pemain Aceh, Muhammad Nur Mahyuddin dijatuhkan dalam kawasan kotak penalti.

BACA LAGI: Selangkah ke Selangor FC, Kalamullah sah tinggalkan Sang Kenari, ramai lagi menyusul

BACA LAGI: Sudah cukup bersedia, Fandi Ahmad letak sandaran di bahu Kpah Sherman 'gari' The Cops

Berang dengan keputusan pengadil tersebut, pemain Sulawesi Tengah, Muhammad Rizki Saputra bertindak memukul muka Eko Agus yang ketika itu menyaksikan pasukannya mendahului dengan keputusan 1-0.

Difahamkan, pengadil terbabit sempat menerima rawatan daripada pasukan perubatan sebelum meneruskan perlawanan.

Susulan tindakan itu, pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada Rikzi pada minit ke-85 yang menyaksikan pasukan itu terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas salah seorang pemain Sulawesi Tengah, Wahyu Aiman diarah keluar padang minit ke-74.

Meskipun dihukum dengan kad merah dan sepakan penalti, penjaga gol Sulawesi Tengah berjaya menafikan cubaan daripada tuan rumah itu.

Walau bagaimanapun, Aceh berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi satu lagi penalti yang disempurnakan Akmal Juanda.

Meskipun perlawanan sepatutnya diheret ke masa tambahan, Sulawesi Tengah enggan meneruskan perlawanan dan mengambil keputusan untuk undur diri dari kejohanan berkenaan yang menyebabkan Aceh layak ke peringkat separuh akhir PON 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram