SELEPAS hampir sebulan perlawanan Liga Super berehat, Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) kembali mewarnai kancah bola sepak Malaysia.
Perlawanan antara Sabah dan Terengganu itu bermula dengan aksi yang sangat pantas hasil serangan balas kedua-dua pasukan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Pemain import baharu Sabah, Joao Pedro tidak menunggu lama untuk menambat hati penyokong apabila menjaringkan gol debut untuk pasukan baharunya.
BACA LAGI: Hampir 500 keterangan diambil dalam siasatan pusat jagaan berkait GISB — KPN
BACA LAGI: 'Hadiah terbaik Hari Malaysia', Wee Ka Siong ucap tahniah buat Pearly Tan-M Thinaah
Hantaran yang dibuat oleh kapten Sabah, Park Tae-su disambut baik oleh Pedro pada minit ke-10 permainan untuk menewaskan penjaga gol lawan, Suhaimi Husin.
Lebih menarik lagi, Saddil Ramdani telah kembali ke dalam kesebelasan utama Sang Badak selepas berehat lama dan beraksi dengan sangat baik.
Beberapa gerakan lincah yang dilakukan pemain kebangsaan Indonesia itu mendapat sambutan dan sokongan daripada penyokong-penyokong tuan rumah.
Malah ada yang berseloroh corak permainan Sabah pada separuh masa pertama seperti sudah dibayar gaji apabila Terengganu susah untuk memegang bola.
"Pemain-pemain Sabah main bola macam dah dibayar gaji, semua main dengan penuh semangat."
Umum mengetahui sebelum ini pasukan Sabah dilanda masalah tunggakan gaji selepas bekas pemain import, Ramon Machado memutuskan untuk meninggalkan Sang Badak dan kembali menyertai kelab Azerbaijan, Araz-Nakhchivan.
Namun sebelum pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli meniupkan wisel pada separuh masa pertama, pemain Terengganu, Ismaheel Akinade berjaya menyamakan kedudukan hasil gerakan rakan sepasukan.
Keputusan separuh masa pertama Sabah 1-1 Terengganu dengan kedua-dua pasukan menurunkan dua pemain import baharu iaitu Pedro (Sabah) dan Nelson Bonilla (Terengganu).
Bersambung babak kedua, Terengganu FC terus diasak oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang mahu membawa pulang tiga mata berharga di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Namun Terengganu tidak membiarkan Sabah terus mendominasi perlawanan apabila cuba mengawal penguasaan bola 20 minit terakhir sebelum pengadil perlawanan meniup wisel penamat.
Sabah dan Terengganu mempamerkan aksi yang lebih berfizikal dalam usaha kedua-dua pasukan mahu mencari gol.
Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat ditiupkan dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata berharga.
Walaupun membawa pulang satu mata di halaman lawan, penyokong-penyokong Terengganu ternyata tidak berpuasa hati selepas jaringan Akinade pada minit ke-28 tidak diiktiraf oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).
Jika dilihat semula jelas melihat bola sudah pun masuk ke dalam gawang gol Sabah sebelum Damien Lim berjaya menepis keluar bola.
"Bola jelas gol tadi, pengadil macam biasalah buat kesilapan mudah walaupun ada VAR," kata Mad Huzaifah.
"Terang-terang pengadil bunuh TFC, lawan Penang bola Manuel Ott gol tapi tak pakai VAR, lawan Sri Pahang, Shakir kena tackle dengan penjaga gol tapi Shakir dipersalahkan.
"Lawan Sabah, Akinade bola dah gol tapi pengadil tak iktiraf," jelas Iqi Mohd.
"Lemah betul pertahanan, pasukan lawan boleh gol awal lawan Terengganu," ujar Mat Yoke.
Selepas ini Sabah akan terbang ke Stadium Selayang untuk bertemu PDRM FC pada 21 September, manakala Terengganu berehat panjang susulan penangguhan menentang Selangor pada 28 September nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram