[VIDEO] Ada aura macam Ramon Machado, fans Sang Badak 'restu' striker Brazil


  • Podium
  • Isnin, 16 Sep 2024

Barisan pemain Sabah FC berpuas hati selepas berjaya mengikat Terengganu FC dengan keputusan 1-1 di Stadium Likas. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC dan Terengganu FC terpaksa akur berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi minggu ke-10 Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

Penyerang import baharu Sang Badak, Joao Pedro Boeira Duarte hanya memerlukan 10 minit untuk membuka akaun jaringan Sabah setelah menyudahkan hantaran lintang kapten pasukan Park Tae-su pada babak pertama.

Pada minit ke-29, pemain import Terengganu, Ismaheel Akinade membuat percubaan kencang seakan-akan melintas garisan gol sebelum ditepis penjaga gol, Damien Lim namun jaringan itu dinafikan pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli selepas melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

BACA LAGI: Selangkah ke Selangor FC, Kalamullah sah tinggalkan Sang Kenari, ramai lagi menyusul

BACA LAGI: Hanya sempat latihan 4 hari, Nafuzi kekal kemudi Sang Kenari, dedah lebih ramai lagi pemain keluar

Ismaheel kemudian mengubati kekecewaan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner dengan ledakan kencang di luar kotak penalti setelah menerima hantaran Muhammad Alif Zakaria untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan dan keputusan kekal 1-1 hingga tamat perlawanan.

Dengan persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh import Brazil itu, 'pemain ke-12' The Rhinos merestui kehadiran Duarte ke skuad Sang Badak.

Ada juga yang mula menyamakan prestasi Duarte itu dengan bekas import berbisa Sabah, Ramon Machado.

"Ada aura macam Ramon, berani pegang bola dan keras bawa bola ke gol lawan, harap banyak gol lagi dihasilkan lepas ni," kata Ben N Gwen.

"Agresif dan laju kejar bola, first game sudah ada gol, tidak payahlah nak bandingkan dia dengan si Ramon, masing-masing ada kelebihan, tapi dah macam Ramon dia ni," kata Marconny Jabilin.

"Padu juga dia ni main kaki kiri kanan hidup walaupun lawan kawal ketat bahagian pertahanan, lama sikit macam Ramon dah dia ni, " kata Jaferi Jeral.

"Dia ni macam Ramon juga, pakar sambar bola, tendangan pun padu," kata Jvl Garimokirim.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee naik satu anak tangga ke tangga keempat dengan 14 mata di bawah Terengganu yang menghuni kedudukan ketiga carta Liga Super dengan perbezaan dua mata masing-masing selepas sembilan perlawanan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram