Pengurus Selangor Pistons 'telan pahit' apit kanan cedera menjelang aksi STL lawan ATM Guardians


  • Podium
  • Rabu, 11 Sep 2024

Sebahagian aksi menarik antara Selangor Pistons (jersi merah) berdepan Kelantan Warriors dalam perlawanan akhir Divisyen 1.

MENJELANG pembukaan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2024 Grand Prix (GP) Sirkit 1 pada Rabu, Selangor Pistons sudah menunjukkan kebersediaan untuk berdepan cabaran dalam kejohanan tersebut.

Pengurus pasukan Selangor Pistons, Syahril Mohd Rashid berkata, persiapan pasukannya ketika ini berjalan dengan lancar sambil menjelaskan pemain-pemainnya sudah cukup bersedia untuk menghadapi cabaran ATM Guardians dalam peringkat Kumpulan B pada Rabu.

Dalam Kumpulan B, Selangor Pistons diundi bersama juara bertahan musim lalu, Perak Bison dan ATM Guardians bagi GP Selangor.

Bercakap mengenai perancangan dalam berdepan cabaran Kumpulan B, Syahril mendedahkan strategi pasukannya kini sedikit terganggu berikutan salah seorang pemainnya mengalami kecederaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tewas 2 kali di tangan Sang Penyu, Kim Swee letak sandaran di bahu import Brazil

BACA LAGI: [VIDEO] Tak lagi dengan Perak, Hadi Fayyadh pilih sertai kelab lama

Selangor Pistons vs Kelantan Warriors_35

Sebahagian momen menarik apabila Selangor berjaya menewaskan Kelantan dalam set pertama final Divisyen 1.

"Senarai pemain ada sedikit pertukaran kerana apit kanan kita, Muslim Mohamad Ramli terpaksa diketepikan atas faktor kecederaan.

"Dia mengalami kecederaan ketika perlawanan Divisyen 1 dan sudah disahkan oleh doktor bahawa dia tidak dibenarkan untuk beraksi dan terpaksa menjalani proses recovery," katanya kepada Majoriti.

Meksipun kehilangan khidmat Muslim sedikit mengganggu perancangan pasukan namun pengurus Selangor Pistons itu tetap menaruh harapan tinggi kepada pemain lain untuk berdepan cabaran ATM Guardians.

Menurutnya, Arif Mohd Badri mampu menggalas tugas sebagai apit kanan menjelang perlawanan Liga Premier yang akan membuka tirainya pada Rabu di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Selangor Pistons vs Kelantan Warriors_36

Import Thailand, Nonthanan Sombatlay (kiri) tampil cemerlang dalam membantu Selangor Pistons bergelar naib juara Divisyen 1.

"Posisi itu akan digantikan Arif Mohd Badri yang merupakan apit kanan muda yang diserap masuk ke dalam pasukan.

"Sejujurnya, kehilangan Muslim ada sedikit menjejaskan perancangan sebenarnya sebab setiap senarai pemain ada strategi masing-masing.

"Jadi, bila ada kecederaan datang daripada pemain utama kita ini, sudah tentu ada sedikit mengganggu perancangan pasukan.

"Bagaimanapun, kami menaruh harapan kepada penggantinya yang kami percaya mempunyai kebolehan yang sama seperti Muslim, saya yakin Arif Badri boleh menjalankan tanggungjawab itu," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai prestasi Selangor ketika ini, Syahril yang juga merupakan Pengurus Pusat Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall turut bersyukur kerana pasukannya dihadirkan dengan seorang pemain import Thailand iaitu Nonthanan Sombatlay.

"Kita mempunyai seorang pemain import Thailand yang main di sebagai apit kanan iaitu Nonthanan Sombatlay, berusia 17 tahun.

"Setakat ini, prestasi dia semasa Divisyen 1 sangat baik dan banyak membantu pasukan.

"Antara salah satu faktor kita berjaya adalah sumbangan yang datang daripada pemain import kita ini kerana hampir 95 peratus keseluruhan perlawanan dia diturunkan dan prestasi dia sangat baik," katanya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors dan Selangor Pistons layak ke Liga Premier selaku dua pasukan terbaik bagi Divisyen 1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram