[VIDEO] Perak Bison 'mengaum', 2 senjata rahsia sedia gempur ATM Guardians


  • Podium
  • Khamis, 12 Sep 2024

Perak Bison dinobatkan sebagai juara Liga Sepak Takraw bagi 2023 dan pastinya mahu mengekalkan rentak kemenangan tersebut musim ini.

PENGURUS pasukan Perak Bison, Jaffrey Mohd Zainol sudah menunjukkan kebersediaan untuk berdepan cabaran dalam kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2024 Grand Prix (GP) Sirkit 1 pada Khamis.

Jaffrey selaku pengurus pasukan juara bertahan musim lalu itu berkongsikan persiapan pasukannya ketika ini berjalan dengan lancar.

Menurutnya, kehadiran dua pemain kebangsaan, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi dijangka mampu membantu pasukan itu berdepan cabaran dalam Kumpulan B yang dibarisi oleh Selangor Pistons dan ATM Guardians.

BACA LAGI: Pengurus Selangor Pistons 'telan pahit' apit kanan cedera menjelang aksi STL lawan ATM Guardians

BACA LAGI: STL 2024: Akui sukar pertahan kejuaraan, 2 import baharu perkuat Perak Bison

"Untuk persediaan pasukan, kami telah mulakan latihan sejak sebulan yang lalu dan kami baru sahaja menerima kehadiran Aizat dan Aidil untuk melengkapkan pasukan dengan tujuh pemain.

"Jadi, untuk dua hari ni kami akan fokus kepada keserasian pemain-pemain khususnya di dalam gelanggang sebelum perlawanan sulung pada Khamis nanti," katanya kepada Majoriti.

Meskipun kedua-dua pemain kebangsaan itu baru sahaja kembali ke tanah air selepas bersaing dalam Kejohanan Piala Raja Thai 2024 di Thailand, Jaffrey berkata, tonggak Perak Bison itu dilihat masih cergas dan sudah cukup bersedia untuk beraksi semula.

Dalam kempen Piala Raja Thai, skuad negara terus kempunan untuk memenangi acara berpasukan lelaki apabila terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 kepada pasukan tuan rumah, Thailand.

Bercakap mengenai cabaran dalam Kumpulan B, Jaffrey yang berusia 39 tahun menjelaskan pemain-pemainnya sudah cukup bersedia untuk menghadapi cabaran ATM Guardians di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

"Untuk musim ni kita memang tahu semua pasukan sama kuat. Bagi saya, semua pasukan ketika ini seimbang dari segi pemain terutamanya. Bukan ATM Guardians sahaja tapi kalau kita masuk mana-mana kumpulan sekalipun, saya rasa saingan musim ini hebat.

"Jadi, untuk ATM Guardians ni, kita faham dia merupakan satu pasukan yang kuat dalam STL.

"Namun, kami pun sudah bersedia dan akan turunkan barisan pemain yang terbaiklah untuk menentang ATM Guardian nanti," kongsinya.

WhatsApp Image 2024-09-11 at 18.33.12

Senjata utama Perak Bison dijangka akan turun beraksi untuk mengenepikan cabaran ATM Guardians.

Di samping itu, Jaffrey turut mendedahkan bahawa 'senjata' utama pasukan itu akan diturunkan dalam aksi bertemu ATM Guardians.

"Kemungkinan besar Aidil dan Aizat akan diturunkan untuk beraksi bertemu ATM Guardians nanti," ujarnya.

Sudah pasti setiap pasukan menanam impian untuk mara ke peringkat akhir namun Jaffrey yang merupakan anak jati Perak itu tetap merendah diri meskipun pasukannya itu muncul juara musim lalu.

"Sekarang ini format baharu. GP ini berbeza dengan liga. Jadi, sebenarnya apa yang kita sasarkan pada GP pertama ni adalah kita nak cuba boost dulu.

"Sasaran pasukan kami adalah sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir dan kita nak baca dulu kekuatan lawan untuk minggu pertama ni sebagai persediaan aksi akan datang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram