KUALA Lumpur Thunder (KL Thunder) memperoleh kemenangan kedua dalam saingan GP Selangor Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) apabila mengatasi saingan sengit Bomba Fighters untuk mencatatkan kemenangan 2-1 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Khamis.
KL Thunder memulakan kempen dengan menumbangkan juara Divisyen 1, Kelantan Warriors, 2-1 pada Rabu dan berada dalam momentum terbaik untuk meraih kemenangan kedua.
Membariskan Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam) selaku trio pemula, Thunder, bagaimanapun, terpaksa mengerah keringat sebelum mencatatkan kemenangan 15-10, 14-17, 15-12 untuk mengungguli kedudukan Kumpulan A.
BACA LAGI: Terengganu FC beri Selangor hari rehat, setuju tangguh perlawanan lepas jumpa kelab Thailand
Bomba Fighters seterusnya akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan GP Selangor dengan menentang Kelantan Warriors.
Manakala saingan Kumpulan D pula menyaksikan Terengganu Turtles membuka peluang ke suku akhir GP Selangor apabila menewaskan KPT-Masum Knights 2-0 dalam perlawanan di venue sama.
Selepas tewas 1-2 kepada Penang Black Panthers dalam aksi pembukaan pada Rabu, Terengganu Turtles tiada pilihan selain meraih kemenangan dalam aksi kali ini untuk menghidupkan kembali peluang mereka.
Menyedari tugas itu, gandingan pemula yang dibarisi Teerapat Promnin (tekong), Zulhusni Basri (pengumpan) dan Khairul Aman Rosdi (perejam) mempamerkan aksi meyakinkan untuk Turtles mencatatkan kemenangan 17-15, 15-8 ke atas KPT-Masum Knights.
Saingan Kumpulan D akan ditutup dengan aksi KPT-Masum Knights menentang Black Panthers pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram