[VIDEO] 'Ibu bapa saya mungkin dah habiskan berjuta', Alya Afza harap ada penaja bantu gapai cita-cita jadi pemain profesional


  • Podium
  • Ahad, 30 Jun 2024

Alya Afza kini aktif menyertai pebagai kejohanan bagi membantu memperbaiki ranking dunianya. — Instagram/AlyaAfza

PEMAIN golf amatur wanita sedang meningkat naik, Alya Afza Hazari kini memasang impian besar untuk muncul sebagai pemain profesional dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Alya Afza yang kini berusia 18 tahun juga berharap untuk mendapatkan penaja sebagai sumber kewangan tambahan dalam membantu pemain muda berkenaan mengejar cita citanya bagi bergelar pemain golf profesional.

Pemain kelahiran dari Alor Setar, Kedah itu akui dia perlu berusaha lebih dan memperoleh rekod yang baik untuk menarik lebih banyak penaja dan membantu mengejar impiannya menjadi pemain golf profesional.

BACA LAGI: Berlian Hemera 1.0 Karat jadi taruhan cabaran Hole in One Kejohanan Golf Wanita Poh Kong Siri 2

BACA LAGI: RSGC-SportExcel makin rancak kembang bakat muda golf, anjur JIGC ke-9

"Matlamat terbesar saya dalam golf ini untuk menjadi pemain profesional pada usia 21 tahun. Maksudnya, saya sudah tidak nak jadi amatur. Sekarang pun banyak pesaing, banyak pemain junior yang bagus.

"Untuk ke tahap (profesional) perlu ada penaja. Setakat ini belum ada penajaan, saya memang nak dapat tajaan. Selalu sukar nak jumpa penaja sebab kena perform dan perlu sentiasa pakai attire mereka," katanya ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.

Bercakap mengenai penglibatan Alya Afza ke dunia golf, pemain yang pernah menjuarai RKC Junior Tournament 2023 itu akui ibu ayahnya merupakan watak utama dalam kariernya.

Menurutnya, ibu bapanya iaitu Hazari Mahathir dan Zalina Abdul Hamid sentiasa tidak pernah berkira dalam memastikan kelengkapan Alya Afza sentiasa cukup biarpun berbelanjaannya sudah mencecah jutaan ringgit.

WhatsApp Image 2024-06-29 at 21.04.55

Alya Afza (kiri) bersama ibunya, Zalina Abdul Hamid. — Instagram/AlyaAfza

"Jika nak main golf betul-betul memang mahal tapi kalau setakat berhibur, boleh dapatkan yang murah sahaja. Jika dah serius untuk menceburi sukan golf, memang habis beribu.

"Ibu bapa saya mungkin dah habiskan berjuta untuk golf. Ayah saya memang bagi terbaik dalam golf ini termasuklah dari segi kejurulatihan sehingga ke kejohanan. Untuk set golf saya sahaja sudah mencecah RM23,000.

"Ibu bapa saya memang supportive, memang mereka akan bagi apa saja saya nak untuk golf ini. Dalam darjah enam macam itu, mak ayah dah hantar main luar negara. Ia memang pendedahan yang baik," tambahnya.

Berkat sokongan daripada ibu bapanya itu, Alya Afza juga tidak pernah terfikir untuk berasa sangat tertekan jika mereka menekan dia untuk menambah baik ranking dunia.

Untuk rekod, Alya Afza kini berada di kedudukan 1,209 dunia dan dia perlu menyertai pebagai kejohanan dengan memperoleh keputusan yang baik bagi memperbaiki ranking dunianya.

"Memang untuk masa sekarang saya masih bergelut cari pace game, cuma akhir-akhir ini saya rasa boleh dapatkan kedudukan terbaik saya. Untuk memperbaiki semula kedudukan memang susah.

"Sekarang saya tengah ambil mental game dan course management untuk membantu memperoleh mata yang baik. Saya memang pernah tertekan untuk kejar kedudukan dunia dalam golf.

"Tetapi sekarang tak dah sebab itu saya mahu, daripada tertekan lebih baik saya baguskan ranking. Tertekan itu biasa kalau bersukan," kata Alya Afza yang pernah menghuni kedudukan 968 dunia.

Bagi memperbaiki ranking dunia itu, Alya Afza kini sedang gigih berlatih untuk Terbuka Amatur Wanita Malaysia (MLAO) di Templer Park Country Club, Rawang, Selangor mulai 15 hingga 17 Julai.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-38 itu telah menarik 60 pemain golf dari sembilan negara berbeza dan antaranya ialah Thailand, Filipina, Singapura, Taiwan, Vietnam dan Hong Kong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram