STL 2024: Akui sukar pertahan kejuaraan, 2 import baharu perkuat Perak Bison


  • Podium
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Noraizat kekal menggalas tugas sebagai tekong Perak Bison pada saingan STL Emas Annuar 2022/2023.

BERGELAR juara bertahan Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/2023 tidak membuatkan Perak Bison berasa selesa, malah berasa tekanan untuk terus memberi persembahan terbaik pada kejohanan tahun ini.

Pada saingan musim lepas, Perak Bison dinobatkan sebagai juara STL Emas Annuar 2022/23 dengan perbezaan ketara dengan pencabar terdekat, Penang Black Panthers.

Kesukaran untuk mempertahankan kejuaraan itu juga disebabkan pelaksanaan Grand Prix (GP), sebagai konsep dan format baharu yang diperkenalkan sempena sedekad kejohanan berkenaan menakluk arena sepak takraw tanah air.

BACA LAGI: STL kini format Grand Prix, tiada lagi dominasi satu pasukan

BACA LAGI: Skuad takraw negara terima habuan khas RM170,000 dari MSN

Tekong sensasi Perak Bison, Noraizat Mohd Nordin menyatakan bahawa peluang untuk menjadi juara kejohanan berkenaan semakin tipis susulan semua pasukan perlu bermain mati-matian di peringkat kumpulan.

“Format baru ini agak sukar sebenarnya, sebab dia main peringkat kumpulan. Jadi, tidak boleh nak buat silap di saingan kumpulan. Bila dah kalah di peringkat kumpulan, tidak ada peluang nak mara ke pusingan seterusnya.

“Kalau format yang sebelum ini, saya suka sebab boleh main timbal balik. Misalnya, kalau satu permainan dah kalah lawan Kuala Lumpur (KL) Thunders, ada peluang tebus balik di satu perlawanan lagi,” katanya.

Noraizat ketika ditemui Majoriti selepas Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Jersi Emas Anuar STL 2024 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sementara itu, Pengurus Perak Bison, Syamsul Istar Ibrahim pula mendedahkan bahawa skuad Utara tanah air berkenaan akan mengekalkan majoriti pemain sama untuk saingan musim ini.

WhatsApp Image 2024-08-16 at 20.23.23

Pengurus Perak Bison, Syamsul Istar Ibrahim.

“Saya boleh katakan sebilangan besarnya kita kekalkan pemain lama. Cuma ada penambahan ada pemain yang kita nak pakai tapi pemain berkenaan memilih pasukan lain. Tapi kena tunggu pengumuman rasmilah daripada pasukan kami.

“Bagi pemain import kita ada dua pemain import insya-ALLAH tahun ini. Cuma pemain tempatan tu memang mostly samalah,” jelasnya mengenai skuad Perak Bison musim ini.

STL musim ini akan dimulakan pada 26 Ogos sehingga 17 November dengan STL Divisyen 1 dan akan terus menjelajah ke beberapa negeri terpilih termasuk di beberapa venue baharu.

STL Disiyen 1 akan diadakan di Dewan Bukit Serindit, Melaka, diikuti dengan STL Premier bermula di Stadium Malawati, Selangor untuk GP pertama. GP kedua pula di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu seterusnya GP ketiga di Stadium Indera Mulia, Perak, GP keempat di Spice Arena, Pulau Pinang dan GP kelima di Arena Larkin, Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram