'Malaysia bukti sudut ranking kita bijak', Hanif Miswan setuju lonjakan mata FIFA beri kelebihan atasi Indonesia


  • Podium
  • Selasa, 10 Sep 2024

Malaysia dinobatkan sebagai juara Pestabola Merdeka 2024. — FAM

MALAYSIA berpeluang mendaki tiga anak tangga dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hasil kejayaan menewaskan Filipina dan Lubnan dalam aksi Pestabola Merdeka 2024.

Kemenangan ni juga membolehkan skuad kebangsaan untuk menambah mata penting FIFA sekali gus memintas kedudukan Indonesia.

Berdasarkan perkiraan yang dibuat laman footranking.com, skuad Harimau Malaya menambah 10.06 mata daripada dua perlawanan itu yang mana 4.48 mata diraih ketika menewaskan Filipina 2-1, Rabu lalu dan 5.58 mata lagi selepas mengatasi Lubnan 1-0, pada Ahad (8 September).

BACA LAGI: 'Kekalkan Nidzam Jamil', fans Selangor tolak khabar angin Nafuzi Zain tinggal KDA sertai Gergasi Merah

BACA LAGI: ‘Terpaling’ bintang Man United mahu keluar kelab, bakal sertai rejim Jose Mourinho

Ia menyaksikan Harimau Malaya setakat ini mengumpul 1,117.64 mata keseluruhan dan mendaki ke tangga 131, naik tiga anak tangga berbanding ranking semasa 134 seperti yang dikemas kini FIFA pada 18 Julai lalu.

Kenaikan itu turut menyaksikan skuad kendalian Pau Marti Vicente memintas dua lagi negara iaitu Gambia dan Rwanda.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum muktamad sebelum kemas kini terbaharu rasmi daripada FIFA pada 19 September ini.

Pemerhati bola sepak, Hanif Miswan berkata, lonjakan ranking negara itu memberikan kelebihan buat skuad kebangsaan walaupun penyokong memuji corak permainan Indonesia yang baru-baru ini berjaya mengikat Arab Saudi di perlawanan kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2026.

"Ramai tak tahu Pestabola Merdeka ini merupakan serampang dua mata, dalam menganjurkan kejohanan, kena tahu bahawa ini perlawanan antarabangsa kelas A.

"Walaupun pandangan peminat pelbagai tapi ia tetap beri mata yang baik untuk ranking FIFA dengan lonjakan beberapa mata kita dapat pintas Indonesia.

"Saya nak bawa balik dulu kita pernah dikritik sebab seorang jurulatih ini cakap ranking negara tak penting, bila dah macam itu (ranking jatuh) kita kritik juga.

"Sekarang ini memang kita sangat mementingkan ranking sebab itu bila ada lonjakan seperti ini, tidak kira daripada sudut permainan kita rasa Indonesia lagi bagus.

"Tetapi Malaysia dah buktikan dari sudut ranking, kita bijak untuk ada peluang-peluang yang kita boleh menang dan kutip mata," katanya kepada Majoriti.

Menjawab perbezaan keputusan seri antara Malaysia dan Korea Selatan dengan Indonesia menentang Arab Saudi, Hanif berpendapat pentas kejohanan itu menjadikan ia cerita yang berlainan.

"Sangat berbeza, ini dua prestij yang berbeza. Piala Asia kita seri dan kejohanan ini sentiasa ada cerita tersendiri.

"Kita (Malaysia) pun dah menanti lebih daripada 40 tahun untuk layak, dan kita tahu perlawanan dengan Korea Selatan itu mungkin tidak memberikan apa-apa makna daripada sudut nak layak ketika itu.

"Tapi dengan bola sepak ini bila kita 'comeback', kita lawan pasukan yang lagi kuat, 'well-known player', sebab itu kita terharu dengan keputusan 3-3 itu.

"Berbeza dengan Indoensia, sekarang ini saya kira ia satu keputusan yang sangat baik kepada Indonesia.

"Kerana mereka boleh rasa bangga untuk rasa ini permulaan yang bagus dan mereka sepatutnya rasa sebegitu," jelasnya.

Sebelum ini, Indonesia yang berjaya mengikat pasukan di ranking 56 dunia, Arab Saudi 1-1 dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, Jumaat lalu berjaya menambah 6.88 mata dan naik satu anak tangga ke kedudukan 132 dunia.

Malah, skuad Garuda masih berpeluang untuk menambah mata dan memperbaiki kedudukan ranking mereka sebelum kemas kini terbaharu FIFA sekiranya berjaya meraih keputusan positif berdepan Australia, pada Selasa (10 September). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram