BERENANG merupakan satu kemahiran asas perlu diterapkan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak sebagai persediaan ketika berlaku kecemasan atau situasi lemas di dalam air.
Melihat kepada statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), sebanyak 268 kes lemas dilihat secara purata berlaku dalam setahun dan sekurang-kurangnya satu kes sehari.
Sejumlah 1,595 panggilan kecemasan berkaitan kes lemas untuk tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022 direkodkan JBPM.
BACA LAGI: [VIDEO] Budaya 'cilok' penunggang motor di Eropah boleh jadi contoh di Malaysia
Kes lemas yang sering berlaku di negara ini terutamanya ketika banjir melanda. — Gambar hiasan/The Star
Kebanyakan kes tersebut juga disebabkan kurangnya pendedahan kemahiran berenang yang sepatutunya diterapkan lebih awal sebelum mencecah belasan tahun.
Susulan itu, ibu bapa atau ahli keluarga juga memainkan peranan dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran tentang kepentingan ilmu tersebut dengan membawa ke kelas latihan renang.
Melalui proses sama, penulis The Star, Remar Nordin mengambil peluang berkongsi pengalamannya pertama kali belajar berenang bersama arwah datuknya.
Membesar sebagai anak Bajau di Semporna, Sabah, mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang dihabiskan dengan aktiviti berenang di kawasan rumah atas air.
Mungkin untuk kanak-kanak lain, permainan seperti bola sepak, namun bagi anak di Semporna, laut dianggap sebagai taman permainan setiap hari.
Kebanyakan kanak-kanak di Bajau Laut Semporna dilatih untuk berenang. — Gambar hiasan/Agensi
Meskipun caranya mengajar agak kasar tetapi, ia berjaya membentuk menjadi insan seperti dirinya sekarang.
"Saya dicampakkan ke air laut bersama-sama dua abang ketika masih berusia enam tahun.
"Kaedah ini diulang berkali-kali sehingga kami boleh berjumpa rakan atau keluarga lain di bawah rumah," katanya.
Menurutnya, semua penduduk termasuk golongan muda atau warga emas akan menghabiskan masa mereka untuk berenang terutamanya ketika air pasang.
Antara kata-kata arwah datuknya yang diingati sehingga sekarang adalah 'panik yang akan menenggelamkan awak'.
Namun, apa yang mengejutkannya apabila berpindah ke Johor kerana mendapati segelintir sahaja kenalan mempunyai kebolehan berenang meskipun terdapat banyak pulau, air terjun, sungai dan pantai serta negeri yang sering dilanda banjir.
Secara puratanya, sebanyak 874 kawasan banjir berisiko berlaku di Jobor apabila tiba musim monsun timur laut.
Kemahiran berenang kepada kanak-kanak adalah sebagai persediaan menghadapi bencana banjir. — Gambar hiasan
Disebabkan itu, ilmu atau kemahiran berenang harus diajar terutamanya kepada penduduk di kawasan kerap berisiko banjir selain Johor seperti Kelantan, Terengganu termasuk Selangor.
Justeru, kehadiran perenang terlatih dalam mana-mana persatuan sukarelawan selain pasukan penyelamat secara tidak langsung dapat membantu memberi pendedahan tentang kemahiran itu.
Kewujudan pusat latihan renang seperti Pusat Akuatik Nasional menjadi antara usaha pihak berkuasa membantu masyarakat setempat.
Bukan itu sahaja, kerjasama antara sukarelawan atau badan bukan kerajaan (NGO) bersama Jabatan Bimba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) boleh mengukuhkan lagi operasi menyelamat ketika musim banjir.
Sehingga kini, lebih 38,000 sukarelawan Selatan dihantar untuk menjalani latihan renang bersama APM jabatan kebajikan lain.
Dengan cara itu, masyarakat boleh memberi sumbangan secara kolektif ke arah membina komuniti yang lebih bersedia menghadapi bencana banjir.
Pusat Akuatik Nasional di Kuala Lumpur. — Gambar hiasan/Perbadanan Stadium Malaysia
Ia juga selaras dengan langkah kerajaan untuk memasang lebih banyak peti peralatan keselamatan Life Saving Appliances (LiSA) ketika musim tengkujuh sebagai langkah mengurangkan jumlah kematian akibat lemas.
LiSA merupakan projek inovasi yang diperkenalkan oleh JBPM sejak 2019 dan sedang diperluaskan lagi khususnya kawasan sungai atau pantai di setiap negeri.
Ia hanya perlu dipasang di lokasi berisiko dan secara automatik akan mengeluarkan bunyi amaran, selain pada masa sama menghantar Navigator Global Positioning System (GPS) kepada balai bomba berhampiran.
Lokasi GPS itu juga dapat dikenal pasti menerusi Google Maps yang membolehkan bomba boleh memberi respon di lokasi tepat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram