PENANTIAN negara untuk menjulang trofi akhirnya tamat selepas Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka buat kali ke-13 hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Lubnan pada Ahad.
Meskipun beberapa kali mensia-siakan peluang, skuad kebangsaan masih mencatatkan kejayaan dalam pertandingan itu dengan ia turut diraikan ribuan penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Pencapaian terbabit turut menyaksikan nama pengendali sementara, Pau Marti Vicente dijulang-julang kerana dia hanya tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan.
BACA LAGI: Mahu lihat perubahan, ekor HM desak Pau Marti guna bintang JDT ganti Paulo Josue
BACA LAGI: [VIDEO] Sejak awal musim bukan 'centre back', adakah Pau Marti bijak guna Dion Cools?
Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka buat kali ke-13. — Facebook/FAM
Dia yang memikul tanggungjawab berkenaan susulan keputusan Kim Pan-gon meletakkan jawatan kelihatan tidak berdepan sebarang masalah dalam menerapkan falsafah dan taktikalnya.
Malah, ada yang beranggapan jurulatih kelahiran Sepanyol itu sudah melepasi halangan pertama bagi melayakkannya mengisi peranan berkenaan secara kekal pada tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, bagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, kempen Pestabola Merdeka 2024 sahaja tidak cukup untuk mengetahui kebolehan sebenar pengendali itu.
"Saya nampak ada perbezaan berbanding permainan Pan-gon, tetapi masih masih terlalu awal untuk melakukan penilaian terhadap Pau Marti. Namun, apa yang ditunjukkan memang sudah cukup baik.
"Corak permainan ada sedikit perubahan, namun peluang-peluang yang kita terima itu sememangnya sering berlaku dalam perlawanan. Tetapi, apa yang saya nampak adalah pergerakan tersusun dan mudah menyesuaikan diri," katanya kepada Majoriti.
Zainal beranggapan Pau Marti sudah memiliki falsafah taktikal tersendiri.
Menurut bekas pemain Harimau Malaya itu, perbezaan dapat disaksikan antara Pau Marti dan Pan-gon kerana masing-masing memiliki identiti permainan yang tersendiri.
Pau Marti memikul peranan pengendali skuad kebangsaan pada Julai selepas kira-kira dua tahun menimba pengalaman sebagai pembantu jurulatih kepada Pan-gon.
Keberadaan itu juga dirasakan satu kelebihan buat Pan-gon dengan Zainal berasakan tempoh berkenaan membolehkannya mengenali kebolehan dan gaya permainan pemain negara.
"Apabila dia diberikan jawatan itu, dia sudah dapat mengenal pasti pemain manakah yang sesuai dengan taktikal dan caranya. Jadi, kita pun dapat lihat perubahan yang dibuat dari segi pemilihan skuad.
Pau Marti (tengah) sebelum ini merupakan pembantu kepada Pan-gon.
"Tetapi, bagi saya, dia masih terlalu baharu dan sekiranya aksi menentang Lubnan itu satu peperiksaan, dia sudah berjaya. Namun, hala tuju FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) pun tidak kita ketahui," katanya lagi.
Jelas Zainal, sekiranya badan induk bola sepak negara itu mahu mengekalkannya, ia merupakan satu cadangan baik kerana ia dapat memastikan Harimau Malaya terus berada di landasan.
Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menyatakan pihaknya akan memberikan tempoh sehingga Februari depan kepada Pau Marti untuk melakukan penilaian terhadapnya.
Ini termasuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 serta kempen Piala AFF yang pasti menyediakan cabaran besar buat jurulatih dengan pengalaman sedikit terhad itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram