[VIDEO] Cara boikot berbeza, protes Ultras Malaya di Shah Alam lebih ‘kasar’ genap 9 tahun lepas


  • Podium
  • Isnin, 09 Sep 2024

Suar dan bom asap diseludup ke dalam Stadium Shah Alam yang kemudiannya dibakar ketika aksi berlangsung.

PERLAWANAN akhir Pestabola Merdeka yang berlangsung pada Ahad lalu kurang mendebarkan apabila penyokong, terutamanya dari kumpulan Ultras Malaya bertindak memboikot aksi berkenaan.

Tindakan itu dibuat bagi menyuarakan rasa tidak berpuas hati terhadap pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam pelbagai isu, termasuk pemergian Kim Pan-gon dan insiden serangan asid dialami Faisal Halim.

Jadi, tidak hairanlah apabila Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelihatan sedikit lengang dengan hanya kira-kira 5,000 penonton hadir ketika skuad kebangsaan menundukkan Lubnan 1-0.

BACA LAGI: Ultras Malaya kena buang ego, tindakan boikot bukan cara wajar

BACA LAGI: Pestabola Merdeka 2024 mungkin sunyi, 3 Ultras negeri nekad boikot kejohanan FAM

458482085_8227264244007585_8735456465663963171_n

Keadaan stadium yang sedikit sunyi ketika saingan Pestabola Merdeka. Media sosial

Bagaimanapun, protes dibuat Ultras Malaya bukanlah sesuatu perkara baharu apabila kira-kira sembilan tahun lalu, mereka pernah berbuat demikian dalam pertembungan antara Harimau Malaya dengan Arab Saudi.

Ketika itu, kedua-dua negara berentap dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018 dengan Stadium Shah Alam, Selangor menjadi venue perlawanan dengan lebih 10,000 penyokong hadir.

Tetapi, suasana sedikit asing dapat dirasakan berikutan kekalahan teruk 0-10 dialami Harimau Malaya dalam perlawanan sebelumnya berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat lawan.

Cemuhan terhadap FAM sudah didengari sejak sepak mula dengan masing-masing menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pengurusan badan induk bola sepak negara berkenaan.

Bagaimanapun, kemuncak terhadap peristiwa itu adalah apabila kumpulan Ultras Malaya membakar suar dan bom asap yang berjaya diseludup masuk ke dalam stadium meskipun kira-kira 530 pegawai keselamatan sudah disediakan.

Kekacauan semakin dirasai ketika skuad kebangsaan ketinggalan 1-2 kepada negara Timur Tengah itu dengan laungan 'FAM B*ngs*t' semakin kuat didengari sekitar Stadium Shah Alam.

Lebih teruk lagi, situasi yang semakin tidak terkawal menyaksikan pengadil perlawanan bertindak menangguhkan aksi selepas kedua-dua pasukan berundur ke bilik persalinan.

Namun, laungan daripada penyokong dan Ultras Malaya terus didengari beberapa puluh minit selepas perlawanan berakhir dengan masing-masing mahu FAM membuka mata mengenai situasi bola sepak ketika itu.

Ultras Malaya chanting for the national players during the Merdeka Tournament final match against Tajikistan at Bukit Jalil National Stadium last night. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Ultras Malaya terus menjadi penyokong setia Harimau Malaya.

Impak daripada insiden itu menyaksikan beberapa individu, termasuk ketua kumpulan penyokong, Lekir Ahmad ditahan bagi membantu siasatan atas kekacauan yang berlaku.

Selain itu, rombakan terus dilakukan terhadap badan pengurusan FAM dengan Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah meletakkan jawatan sebagai presiden persatuan.

Beberapa tahun selepas itu, perubahan dapat disaksikan dengan skuad kebangsaan berjaya mengubah nasib mereka, termasuk menamatkan penantian 42 tahun untuk ke Piala Asia secara merit.

Tetapi, ketika ini, tindakan boikot yang berlaku sedikit sebanyak pasti mengingatkan orang ramai mengenai insiden dan protes yang pernah disaksikan di Stadium Shah Alam pada September 2015. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram