JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus rancak memperkukuhkan pasukan sempena jendela perpindahan kedua ini selepas membawa masuk bekas penjaga gol Real Sociedad, Andoni Zubiaurre.
Perkara berkenaan diumumkan juara 10 kali Liga Super itu di laman media sosial rasmi mereka dengan Zubiaurre menjadi pemain ketujuh direkrut pada jendela perpindahan kali ini.
Kelab terakhir penjaga gol berusia 28 tahun itu ialah CD Eldense dan kontraknya sudah tamat pada 30 Ogos lalu selain pernah bersama skuad La Liga, Real Sociedad dari 2017 sehingga 2023.
BACA LAGI: 'Dia ada apa JDT perlukan', import baharu Harimau Selatan dilabel pengganti Leandro
BACA LAGI: Belum sempat debut Liga Super, dah dengar khabar angin import baharu JDT kena 'loan' ke kelab luar
Selain Zubiarurre, skuad kendalian Hector Bidoglio itu juga sebelumnya sudah mendapatkan khidmat penjaga gol berbakat Elche, Christian Abad yang baru berusia 18 tahun sebagai pilihan lain di posisi berkenaan.
Sebelum kehadiran dua penjaga gol itu, juara bertahan Liga Super itu dikaitkan akan membawa masuk penjaga gol kebangsaan Filipina, Neil Ethridge yang sebelumnya berpengalaman beraksi bersama Cardiff dan Birmingham City FC.
Bagaimanapun, penjaga gol berusia 34 tahun itu memilih untuk menyertai Buriram United di saingan domestik selain cabaran getir menanti di pada pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini.
Ditanya mengenai khabar angin ke JDT itu, penjaga gol berketinggian 1.88 meter itu memilih untuk tidak bercakap mengenainya dan mahu fokus membantu Buriram United bagi saki baki liga.
Etheridge secara rasminya diperkenal sebagai pemain baharu Buriram United pada Jun lalu. — Facebook/BuriramUnited
"Saya gembira bersama Buriram dan saya pun sudah menerima kontrak bersama Buriram United. Saya gembira dengan kontrak di sini dan seronok bermain di saingan Liga Thailand.
"Sekurang-kurangnya saya mahu bersama Buriram selama dua tahun dan nak tolong Buriram," katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas aksi Filipina menentang Malaysia bagi Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Rabu.
Bercakap mengenai suasana bermain di gelanggang keramat Harimau Malaya itu, Ethridge sedikit kecewa dengan jumlah penyokong yang hadir susulan penyokong berpegang teguh dengan pendirian dan motif mereka untuk memboikot Pestabola Merdeka.
Etheridge ketika mewakili Filipina dalam aksi bertemu Malaysia pada Rabu. — Instagram/NeilEtheridge
Sebelum ini, penyokong bola sepak tempatan khususnya kumpulan Ultras Malaya melancarkan kempen boikot sebagai tanda protes di atas pelbagai isu dalaman babitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Stadium ini mengagumkan dan memang lebih bagus kalau lebih banyak penyokong. Tapi saya dengar isu mengenai stadium ini, penyokong memang akan ada nanti juga. Saya tahu yang stadium ini boleh mengajak lagi banyak penyokong.
"Dari segi keadaan padang pula, saya dengar FAM sedang cuba untuk memperbaiki, jadi saya rasa padang ini okay saja," ujarnya ketika menjawab pandangan peribadinya mengenai SNBJ. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram