'Ada pemain dah buat aduan', PFAM akan beri notis buat KDA FC


  • Podium
  • Khamis, 05 Sep 2024

Ada pemain Kedah yang sudah membuat aduan rasmi kepada PFAM.

PEMAIN-PEMAIN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilaporkan telah memboikot sesi latihan dan ia telah memasuki hari kedua setakat ini.

Perkara tersebut telah dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom dalam satu hantaran di laman X baru-baru ini.

Difahamkan pemain-pemain Sang Kenari tidak mendapat pembayaran gaji mereka selama lima bulan dan hanya menerima satu bulan sahaja daripada pihak pengurusan Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] Sejak awal musim bukan 'centre back', adakah Pau Marti bijak guna Dion Cools?

BACA LAGI: JGE2024 beri peluang 600 pemain amatur golf rebut RM14,000 lawan atlet profesional

Lebih parah lagi, pihak pengurusan membayar gaji satu bulan pemain-pemain Kedah itu secara ansuran.

Selain memboikot sesi latihan, Kedah dijangka kehilangan beberapa pemain lagi disebabkan masalah gaji yang dihadapi.

Perkara itu agak membimbangkan penyokong Kedah yang baru sahaja kehilangan arkitek utama pasukan, Habib Haroon yang menamatkan kontrak lebih awal untuk kembali ke Bahrain menyertai Sitra FC.

Menyentuh soal tunggakan gaji di Kedah, Eksekutif Legal Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), mengesahkan bahawa badan induk itu sudah mendapat aduan rasmi daripada pemain-pemain Sang Kenari.

"Sebenarnya baru-baru ini ada pemain Kedah hubungi PFAM, tapi saya tak boleh sebut namanya siapa.

"Tapi pemain-pemain itu ada nama dalam kancah bola sepak negara.

"Isu ini kalau kelab tak bayar, pemain nak bersuara atau ambil tindakan itu memang hak pemain," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, PFAM juga faham kenapa pemain tidak mahu mengadu kepada badan induk itu demi masa depan karier mereka.

“Sebagai pemain saya faham sebenarnya tak senang sebab pemain pun takut nak ambil tindakan.

“Sebab dia takut nanti ada kesan konsekuensi yang mungkin akan merosakkan karier mereka.

“Jadi nasihat saya, pemain pasukan tersebut perlu bersatu hati dan kalau boleh hantar pemain yang ada nama dan berpengaruh dalam kumpulan,” ujarnya.

Jelas PFAM lagi, selepas ini badan induk itu akan menghantar notis kepada pasukan Kedah untuk melunaskan gaji tertunggak dalam masa 10 ke 15 hari sebelum membawanya ke Tribunal Kesukanan.

“PFAM akan keluarkan notis ‘claim’ kepada kelab, kita akan berikan kelab dalam masa 10 hingga 15 hari untuk membayar gaji.

“Kalau kelab masih tak ikut tuntutan itu PFAM akan fail kes kepada National Dispute Resolution Chamber (NDRC) iaitu mahkamah dekat FAM.

“Apa yang saya boleh katakan 99 peratus kes yang pergi FAM memang selalu berjaya sebab jelas pihak kelab tak bayar gaji.

“Selepas dapat keputusan FAM pula akan berikan notis kepada kelab sebelum buat keputusan macam tolak mata atau ‘transfer ban’.

PFAM juga mengesahkan sudah ada pemain-pemain dari dua kelab Liga Super membuat aduan kepada badan induk itu untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram