ATLET para negara, Ziyad Zolkefli akhirnya dapat melupakan episod hitam pernah dilaluinya di temasya Paralimpik Tokyo tiga tahun lalu apabila meraih pingat perak dalam acara lontar peluru kategori F20 (kecacatan intelektual) pada Ahad.
Ini kerana pada temasya yang lalu, Ziyad terpaksa menelan kepahitan apabila pulang dengan tangan kosong meskipun memecahkan rekod dunia dalam perlawanan akhir.
Jadi, kekecewaan tersebut ditebus di Paris, Perancis apabila atlet berusia 34 tahun itu meraih pingat perak menerusi catatan 17.18 meter (m) dalam lontaran ketiga.
BACA LAGI: ‘Itulah sikap atlet sebenar’, bekas jurulatih puji semangat Ziyad Zolkefli raih perak di Paralimpik
BACA LAGI: Paralimpik Paris: Kilauan perak buat Ziyad
"Alhamdulillah, pingat perak adalah lebih baik berbanding pulang dengan tangan kosong. Saya mempunyai misi tinggi untuk meraih emas kerana saya yakin di Paris. Tetapi, saya tidak terlalu kecewa kerana sudah berikan yang terbaik.
"Kisah yang menghantui saya di Tokyo akhirnya tamat. Saya juga berasa lega kerana perkara yang saya fikirkan untuk tempoh tiga tahun sehingga saya mengalami kemurungan kesan daripadanya," kata Ziyad.
Kejayaan Ziyad dalam temasya Paralimpik Tokyo dibatalkan akibat isu teknikal.
Meskipun terdapat usaha untuk memperbaiki kedudukannya dalam temasya tersebut, namun saingan ditonjolkan Oleksandr Yarovyi jelas tidak dapat ditandingi Ziyad sendiri.
Atlet Ukraine berusia 25 tahun itu memastikan pingat emas miliknya apabila lontaran keempatnya dalam pusingan akhir dicatatkan pada jarak 17.61m dengan ia gagal diatasi pesaing lain.
Pingat gangsa pula dibawa pulang seorang lagi peserta dari negara Eropah itu, Maksym Koval yang mencatatkan jarak lontaran 16.99m meskipun pernah memecahkan rekod dunia ketika di Tokyo.
Ziyad kini sudah meraih tiga pingat daripada temasya Paralimpik, iaitu gangsa ketika saingan di London pada 2012 serta emas dalam temasya berlangsung empat tahun kemudian.
Bagaimanapun, dia masih tidak mahu menamatkan karier dalam sukan itu kerana masih bersemangat untuk berentap dalam penganjuran akan datang yang bakal diadakan di Los Angeles pada 2028.
"Saya belum berfikir untuk bersara. Mungkin saya akan bersaing lagi pada temasya akan datang dengan keputusan akan dibuat berdasarkan keadaan fizikal saya," katanya.
Kejayaan Ziyad meraih pingat perak menyaksikannya mengaut keuntungan berupa ganjaran sebanyak RM300,000 dan wang persaraan bulanan RM3,000 di bawah insentif Majlis Sukan Negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram