'Letak semua telur dalam satu bakul', jurulatih luar negara anggap RTG tiru China merugikan


  • Podium
  • Isnin, 02 Sep 2024

Azizulhasni gagal membawa pulang sebarang pingat di Olimpik Paris 2024 selepas tersingkir awal dalam acara keirin.

TIADA sebarang kilauan pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Olimpik Paris 2024 menimbulkan tanda tanya peminat sukan, adakah program Road to Gold (RTG) gagal?

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak berkecil hati dengan kritikan ‘pedas’ peminat sukan tanah air yang melabel program RTG kepada 'Road to Gangsa'.

Tegasnya, misi RTG bukan sekadar memburu emas di Paris 2024 kerana ia adalah program jangka masa panjang yang dilaksanakan bagi dua temasya Sukan Olimpik sehingga edisi Los Angeles 2028.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan gagal tapi belum berjaya dapat emas Olimpik, Hannah Yeoh minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal 'angkat' pingat emas, Hannah Yeoh anggap Aniq ikon sukan terbaharu negara

Namun sampai bila peminat harus menunggu kilauan pingat emas tiba di tanah air taktkala atlet paralimpik yang tiada program khusus pula berjaya menaikkan nama Malaysia di persada dunia.

Kontinjen negara mengakhiri Olimpik Paris dengan dua pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Woh Wooi Yik dan perseorangan profesional, Lee Zii Jia.

Manakala sukan yang diharapkan seperti acara terjun dan basikal gagal membawa pulang sebarang pingat.

2646227

Brooker meninggalkan Malaysia pada 2021 selepas menyertai skuad negara pada Disember 2017.

Melihat kegagalan RTG di Olimpik Paris 2024, bekas jurulatih terjun negara, Christian Brooker berpendapat meniru program seperti China sesuatu yang merugikan.

"Meniru China sesuatu yang bodoh, tiru program negara yang tahu membawa balik pulangan," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata, dana sebanyak RM40 juta juga tidak cukup untuk membantu dan melahirkan atlet-atlet negara yang berkualiti.

"Dalam program RTG mereka menyasarkan individu, ini idea yang sangat teruk. Pernah dengar frasa meletakkan semua telur dalam satu bakul?

"Mereka perlu menyasarkan komuniti dan sukarelawan. Jadikan sukan lebih mudah diakses.

"Apa yang saya lihat, Malaysia sangat bagus dalam mengumumkan program tapi gagal untuk melaksanakan dan mengekalkan.

"Pegurusan tidak memberikan kebebasan dan autonomi kepada pakar untuk membuat keputusan.

"RM40 juta tidak mencukupi, lihatlah berapa banyak wang yang dilaburkan Australia dalam sukan. Satu pingat emas bagi setiap 1.4 juta rakyat Australia," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-30 at 4.49.30 PM

Data yang dikongsikan Brooker megenai negera pemenang pingat terbanyak Olimpik Paris 2024.

Brooker juga mahu program RTG lebih tertumpu kepada atlet muda yang mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan pingat emas.

"Perhatian wajar diberikan kepada pulangan yang baik, cuba anda bayangkan, Malaysia mempunyai seorang atlet berusia 13 tahun yang sangat berpotensi menjadi pemenang pingat emas.

"Tetapi ibu bapa atlet itu tidak terlalu fokus kepada sukan yang mahu anak-anak mereka beri tumpuan kepada akademik ataupun aktiviti bersama rakan-rakan tanpa melihat sukan sebagai satu kepentingan.

"Akhirnya, atlet berusia 13 tahun itu bakatnya tidak dihargai. Jika sukan dilihat sebagai satu perkara penting untuk komuniti kanak-kanak mungkin ia akan membantu mereka," jelasnya.

Screenshot 2024-09-01 145812

Kontinjen negara mengakhiri Olimpik Paris dengan dua pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia (kiri), Woh Wooi Yik (kanan) dan perseorangan profesional, Lee Zii Jia.

Tambahnya lagi, Malaysia perlu mencontohi program beberapa negara lain seperti Thailand dan Indonesia yang memfokuskan bukan sukan utama namun mampu membawa pulang pingat emas.

Bukan itu sahaja, Brooker juga menyarankan agar menjadikan negara dengan populasi kecil sebagai model bagi mendapatkan emas pertama Malaysia.

Misalnya, Saint Lucia yang menghantar tiga atlet berjaya memperoleh emas menerusi Julien Alfred yang memenangi acara 100 meter wanita di Olimpik Paris, sekali gus melakar sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama negaranya di temasya itu

"Lihatlah apa yang dilakukan oleh negara-negara yang mempunyai populasi kecil untuk memenangi pingat, ketahui apa yang mereka lakukan secara berbeza.

"Pelan masa jangka panjang diperlukan dan tertumpu pada program akar umbi dan komuniti.

"Jika anda terus membelanjakan wang di atas dan tidak melabur dalam akar umbi anda akan berakhir dengan keputusan Olimpik Paris 2024," luahnya.

Sementara itu, Majoriti cuba mendapatkan respons bekas atlet yang terlibat dengan program RTG namun sehingga kini masih tiada maklum balas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram