TINDAKAN memboikot kumpulan penyokong Ultras Malaya terhadap Pestabola Merdeka 2024 jelas membawa padah terhadap pertandingan jemputan itu yang dijangka lengang pada Rabu.
Skuad kebangsaan yang bakal berdepan Filipina pasti akan tempang tanpa sokongan yang sering diraih daripada ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur seperti dalam aksi-aksi sebelum ini.
Bagaimanapun, dengan gerakan boikot dilancarkan terhadap pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), venue perlawanan pasti akan lengang bagi perlawanan itu.
BACA LAGI: Lepas Pestabola Merdeka, Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ke-94 dunia
Tindakan memboikot Pestabola Merdeka menerima sambutan daripada penyokong lain.
Tetapi, situasi berbeza sudah tentu berubah sekiranya Harimau Malaya dapat melangkah ke perlawanan akhir apabila masing-masing enggan melepaskan peluang untuk menyaksikan kejayaan pasukan negara.
Meskipun kesungguhan untuk menjayakan gerakan boikot itu amat ketara ketika ini, semangat itu pernah luntur sekiranya dilihat kepada tahun-tahun lalu.
Malah, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali juga percaya bahawa pendirian penyokong akan goyah sekiranya Harimau Malaya dapat menempah slot ke final.
"Emosi peminat bola sepak ini memang ada naik turun. Semasa ada masalah 'boikot', tetapi apabila sudah menang, buat-buat lupa mengenainya.
"Pemain pula, hanya memikul tanggungjawab mewakili negara dan persembahkan permainan yang terbaik untuk mencapai kemenangan," katanya menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya.
Safee Sali berkongsi pengalamannya beraksi dalam temasya Pestabola Merdeka 2007. — Instagram/Safee Sali
Berdasarkan perkongsian itu, Safee turut menceritakan bagaimana dia juga pernah mengalami situasi sama iaitu ketika Pestabola Merdeka 2007 yang menyaksikan FAM menghantar skuad muda.
Keputusan itu dibuat berikutan kegagalan memalukan skuad kebangsaan dalam Piala Asia dengan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dipilih untuk menganjurkan kejohanan itu.
Tetapi, penyertaan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dalam Pestabola Merdeka ketika itu membuahkan hasil apabila mereka mencatatkan kemenangan ke atas Myanmar dalam perlawanan akhir.
"Pada mulanya, kejohanan ini menjadi serangan 'boikot' daripada semua peminat bola sepak tempatan.
"Tetapi, kemenangan demi kemenangan yang ditunjukkan sehinggalah kami melangkah ke final, bermulalah kembali aura peminat datang semula ke stadium pada ketika itu. Stadium penuh semasa final dan kita menjadi juara," tulisnya lagi.
Selepas Pestabola Merdeka 2007, FAM hanya menganjurkan pertandingan itu sebanyak tiga kali iaitu pada 2008, 2013 dan 2023 yang mana skuad kebangsaan hanya meraih satu kejayaan.
Ini termasuk kekecewaan dalam edisi yang lalu kepada Tajikistan dalam perlawanan akhir dengan perasaan itu pasti mahu ditebus anak-anak buah Pau Marti Vicente.
Sekiranya Harimau Malaya berjaya melangkah ke perlawanan akhir, mereka akan berdepan Tajikistan atau Lubnan yang juga akan berentap dalam aksi separuh akhir pada Rabu di Stadium Cheras, KL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram