SABAH Mountaineers muncul juara Kumpulan C saingan Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2024 apabila mudah menundukkan Penjara Enforces 2-0 di Stadium Bukit Serindit, Melaka pada Selasa.
Membariskan Saufi Edul (tekong), Sobrie Samsudin (pengumpan) dan Jaxon Amputong (perejam), pasukan Negeri di Bawah Bayu itu tidak berdepan masah untuk mencatatkan kemenangan mudah 15-11, 15-7.
Terdahulu, Mountaineers menundukkan Putrajaya Cyborg 15-10, 15-8 dalam aksi pembukaan sekali gus sah layak ke suku akhir selaku juara kumpulan C.
BACA LAGI: STL baru nak 'panas', fans sudah rindu sistem 21 mata
BACA LAGI: Sabah sudah sedia, Intan Serah jadi sandaran fans
Pasukan Sabah Mountaineers mara ke suku akhir Divisyen 1. — Facebook/STL
Dengan kemenangan berharga tersebut, pengurus pasukan Sabah Mountaineers, Suhaimi bin Abdullah @ Voo Hon Man meluahkan kesyukuran apabila pasukannya bergelar juara Kumpulan C.
Suhaimi turut mendedahkan bahawa pasukannya itu berdepan kekangan masa sebelum perlawanan Divisyen 1 bermula.
"Ya, kita gembiralah kan dapat mara ke suku akhir walaupun persediaan kita agak singkat, kita cuma ada masa seminggu untuk latihan kerana perlu membawa salah seorang pemain Sabah ke SUKMA," katanya kepada Majoriti.
Di samping itu, Suhaimi yang juga merupakan warga pendidik turut berkongsikan bahawa Sabah memiliki seseorang yang boleh diibaratkan sebagai pembakar semangat pasukan.
Barisan pemain Sabah Mountaineers. — Facebook/STL
Menurut Suhaimi, terdapat dua lagi perejam yang pastinya dilihat mampu membantu Sabah untuk bersaing dengan pasukan lain.
"Pemain yang saya maksudkan ialah Mohd Fariz, dengan sandaran emas yang diraih acara double sepak takraw SUKMA, dia boleh dikatakan pembakar semangat buat Sabah.
"Fariz ini main sebagai killer, selain Fariz, ada lagi killer iaitu Jaxon Amputong dan Ramdan Ibrahim," ujarnya.
Meskipun mara ke suku akhir, Suhaimi bagaimanapun enggan meletakkan sasaran tinggi untuk pasukan yang berpangkalan di Borneo itu.
"Itu sasaran kitalah yang paling tinggi tapi kita tengok game by game lah, kena ada rancangan yang lebih teliti, takut nanti sangkut pula dekat pusingan seterusnya.
"Kalau kita bernasib baik kita akan ke final," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram