KONTINJEN Malaysia berjaya meraih pingat pertama temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 apabila atlet olahraga negara, Eddy Bernard menyumbang gangsa menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal).
Pada aksi final yang berlangsung di Stade de France, Paris awal pagi Isnin, atlet kelahiran Sabah itu menamatkan saingan menerusi catatan masa 11.58 saat (s).
Kemenangan itu sekali gus meneruskan legasi Ridzuan Puzi di temasya Paralimpik selepas atlet olahraga para yang terkenal dengan panggilan Dek Wan itu sebelum ini memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016.
BACA LAGI: [VIDEO] Dah macam Zii Jia, Muhammad Fareez bergaya tumpaskan atlet Jepun misi ke final Paralimpik
BACA LAGI: Skuad Jang terima nafas baharu, bekas tonggak KL City disebut dalam radar NSFC
Lebih manis, kejayaan atlet berusia 23 tahun itu pada penampilan sulung di pentas Sukan Paralimpik turut memecahkan rekod Asia milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75 saat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.
Eddy juga mengatasi catatan masa peribadi terbaiknya 11.77s ketika membawa pulang pingat perak pada kejohanan berprestij dunia di Kobe itu.
Dalam pada itu, pingat emas disambar wakil Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo dengan catatan 11.12 saat manakala pingat perak menjadi milik atlet Cuba,Yamel Luis Vives Suares dengan masa 11.20 saat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram