Marc Vales bukan yang pertama, ada 3 lagi bekas bintang tak boleh lupakan aura Hijau Kuning


  • Podium
  • Isnin, 02 Sep 2024

Marc Vales memberi bayangan mahu pulang ke Kedah atau Liga Super dalam satu hantaran terbaru di Facebook peribadinya.

BARU-BARU ini, bekas pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC menyuarakan kerinduannya terhadap negara berserta ucapan hari kemerdekaan dalam satu hantaran di Facebook peribadinya.

Luahan tersebut dibuat berserta beberapa keping gambar menyaksikannya bersama isteri dan dua orang anaknya ketika mereka bercuti di beberapa lokasi tarikan seluruh negara.

Malah, pemain antarabangsa Andorra itu juga meninggalkan usikan buat peminat arena bola sepak tempatan apabila meletakkan harapan untuk kembali pada masa akan datang.

BACA LAGI: Marc Vales buat ucapan sayu buat penyokong Kedah saat ada yang meragui

BACA LAGI: Enggan terus jadi 'lauk', penyokong KDA FC desak Marc Vales direhatkan

Perkara itu boleh diterjemahkan sebagai satu bentuk kerinduan daripada Marc Vales terhadap saingan Liga Super, terutamanya KDA FC yang pernah menagih khidmatnya selama satu, iaitu pada 2022.

Meskipun skuad Sang Kenari seperti tidak mahu menandatanganinya pada masa terdekat, ia sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa dia terbuka untuk kembali ke kelab itu sekiranya dihidangkan peluang.

Namun, pemain berusia 34 tahun tersebut bukanlah yang pertama berbuat demikian kerana beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat bekas bintang Kedah yang menyatakan hasrat sama seperti Marc Vales.

1. Ken Ilso Larsen

Salah seorang penyerang terbaik dalam sejarah bola sepak moden Kedah adalah Ken Ilso Larsen yang merupakan seorang peledak import dari Denmark.

Dia yang menyertai skuad Sang Kenari pada 2017 tidak memerlukan masa lama untuk mewujudkan hubungan baik dengan penyokong dengan mutu penyudah serta gerakannya cukup digeruni.

Ini dibuktikan dengan 15 gol dalam 18 penampilan yang direkodkannya di samping kehadirannya membantu pasukan Utara terbabit menjulang Piala Sumbangsih dan Piala FA.

ken-ilso-liridon-1080x717

Impak Ken Ilso (tengah) amat dirasai skuad Sang Kenari.

Bagaimanapun, jodoh antara Ken Ilso dan Kedah tidak berpanjangan apabila dia memilih untuk meninggalkan kelab itu pada penghujung musim sebelum dia menyertai Penang FA.

Tetapi, hubungan antaranya dengan skuad Sang Kenari jelas tidak pernah luntur kerana sehingga kini, dia sering memuat naik foto ketika dia masih beraksi untuk pasukan itu.

Penyokong juga seperti masih tertarik dengan Ken Ilso apabila ruangan komen sering dibanjiri kata-kata penghargaan atas sumbangannya dalam tempoh singkat itu.

Kini, pemain berkenaan sudah tidak lagi beraksi di atas padang selepas mengumumkan persaraan lima tahun lalu dengan dia kini terlibat dalam dunia penyiaran di Denmark.

2. Liridon Krasniqi

Hubungan antara Liridon Krasniqi dan Kedah tidak perlu diceritakan lagi kerana dia sudah bersama kelab itu sejak mereka masih berada di Liga Perdana.

Tempoh empat tahun yang diluangkannya bersama skuad Sang Kenari juga menjadikannya sebagai salah seorang import terbaik pasukan, baik dari segi persembahan di atas padang mahupun dari segi personalitinya.

Bagaimanapun, pada 2019, pemain tengah berkenaan akhirnya memilih untuk berhijrah ke Melaka United, sekali gus menamatkan kariernya selama lima tahun di Kedah.

liridon-krasniqi

Liridon berkali-kali memasang hasrat untuk kembali ke pangkuan Kedah.

Selepas itu, Liridon terus berkelana ke beberapa kelab Liga Super, termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan perpindahan itu turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong Hijau Kuning.

Tetapi, baru-baru ini, hubungan pemain tersebut dengan kelab Utara tanah air itu kembali kukuh selepas dia berkali-kali meluahkan hasrat untuk kembali menyarung jersi Sang Kenari.

Harapan berkenaan dikongsikan menerusi komen-komen di laman media sosial KDA FC, termasuk kesanggupannya untuk beraksi buat pasukan tersebut tanpa menerima sebarang bayaran.

3. Sandro da Silva

Salah seorang pemain tengah menyerang terbaik pernah disaksikan penyokong Kedah adalah Sandro da Silva yang bermain bersama kelab itu selama empat tahun bermula 2015.

Dia yang sering diturunkan di samping kapten, Baddrol Bakhtiar serta Liridon membentuk satu pasukan terbaik dengan beberapa trofi berjaya dijulang sepanjang tempoh berkenaan.

Sumbangannya tersebut membuatkan pemain kelahiran Brazil terbabit amat digemari dengan pemergiannya ke Selangor pada 2019 seperti sukar untuk diterima.

2714532

Sandro melengkapkan trio di bahagian tengah Kedah bersama Baddrol dan Liridon.

Bagaimanapun, cinta Sandro terhadap Kedah seakan-akan utuh sehingga hari ini kerana dia juga sering memuat naik gambar memaparkannya menyarung jersi skuad Sang Kenari.

Perkongsian yang tidak ubah seperti Ken Ilso itu membuktikan Sandro masih dihargai peminat skuad Sang Kenari yang masih mengharapkan kepulangannya dalam barisan pengurusan pasukan.

Tetapi, hasrat itu sememangnya sukar untuk direalisasikan kerana dia kini sudah memilih untuk bergelar seorang ejen bola sepak sejak menamatkan kariernya tiga tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram