KECEDERAAN yang dihadapi pemain pertahanan import Kedah Darul Aman (KDA) FC dari Andorra, Marc Vales nampaknya menyaksikan pemain itu terpaksa direhatkan.
Ini kerana pemain berusia 32 tahun itu perlu menjalani pembedahan ekoran kecederaan yang dialami sejak bermulanya Liga Super.
Pemain itu juga membuat satu ucapan yang ditujukan khas kepada penyokong KDA FC berkenaan rasa terkilan dirinya kerana tidak dapat bersama pasukan.
"Ini adalah yang detik yang cukup sukar. Saya perlu buat satu perkongsian kerana rasa terhutang dengan penyokong KDA FC.
Marc Vales ketika beraksi untuk pasukan KDA FC. — Facebook/Arena Hijau Kuning
"Sejak hari pertama saya tiba di Malaysia, matlamat saya adalah untuk memberikan 100 peratus komitmen untuk mendapatkan keyakinan daripada pasukan dan penyokong.
"Namun, saya akui belum buat yang terbaik sejak menyarung jersi KDA FC dan sekarang saya terpaksa berhenti seketika, jalani pembedahan dan selesaikan masalah yang memberi kesan kepada saya sejak di awal liga lagi.
"Mujur proses pemulihan tidak akan mengambil masa yang panjang," katanya.
Dalam ucapan itu juga, dia sempat mengirim rasa terima kasih kepada semua yang sentiasa memberinya semangat untuk kembali beraksi dengan lebih bertenaga.
Prestasi Marc Vales yang tidak menentu menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong. — Facebook/Marc Vales
Jelasnya, dia juga mengucapkan tahniah kepada pasukan di atas aksi cemerlang yang dipamerkan dalam Piala AFC.
"Mari kita gunakan kelebihan dan momentum yang ada untuk terus mencapai matlamat yang ditetapkan di awal liga.
"Kita kena capai cita-cita bersama. Pasukan memerlukan sokongan penyokong untuk mendaki ke kedudukan tertinggi dalam liga dan saya harap akan kembali bersama KDA FC secepat yang mungkin," katanya.
Untuk rekod, KDA FC kini sedang berada di kemuncak prestasi selepas membelasah pasukan Kemboja, Visakha FC 5-1 untuk merampas pendahulu Kumpulan G Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada hujung bulan lepas.
Kebangkitan yang dilakukan oleh skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini memastikan mereka mara ke peringkat separuh akhir Zon Asean selaku juara Kumpulan G, sekali gus melupakan seketika prestasi kurang memberangsangkan di Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram