Enggan terus jadi 'lauk', penyokong KDA FC desak Marc Vales direhatkan


  • Podium
  • Selasa, 10 Mei 2022

Vales (kanan) menyertai KDA FC pada musim ini. — KDA FC

PRESTASI yang ditampilkan naib Juara Liga Super musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika ini ternyata membimbangkan penyokong setianya selepas mencatatkan tiga kekalahan daripada empat perlawanan terakhir.

Daripada empat perlawanan itu, KDA FC melepaskan 11 gol termasuk kekalahan memalukan 1-4 dan 0-4 masing-masing kepada Selangor FC dan Sabah FC.

Selepas tujuh perlawanan musim ini, KDA FC sudah bolos 14 kali, separuh daripada jumlah bolos yang dicatatkan mereka keseluruhan musim lalu.

Situasi itu menyebabkan penyokong mempersoalkan kualiti pertahanan Sang Kenari yang disebut-sebut sebagai pencabar utama Johor Darul Takzim bagi merebut kejuaraan liga musim ini.

Antara yang sering menjadi kecaman penyokong adalah pemain antarabangsa Andorra, Marc Vales yang dilihat gagal mempamerkan aksi yang baik sejak tiba di Stadium Darul Aman awal musim ini.

Justeru, sebilangan penyokong Sang Kenari di media sosial mahu pemain antarabangsa Andorra itu direhatkan bagi perlawanan Liga Super menentang PJ City FC pada Selasa kerana bimbang bakal menjadi 'lauk' kepada penyerang The Phoenix.

"Kalau boleh Marc Vales tu tak payah mainlah... duduk reserve dulu... sejak dia main kesebelasan utama ni tak tahu nak cakap," kata Ewan Wantmore.

"Marc Vales tu macam tak ada hala tuju atas padang," ujar Malik Malik.

"Vales bagi dia rehat dulu... ada dia kacau habis game," kata Ady N Ieyna.

"Vales bagi rehat dulu... dia main kalah semendang... time dia injured boleh menang," kata Kapten Leo pula.

Kebimbangan penyokong KDA FC ternyata berasas kerana mengikut statistik, sejak Vales melakukan penampilan pertama ketika perlawan menentang Sri Pahang bulan lalu, KDA FC sudah melepaskan 11 gol dalam lima perlawanan.

Malah, beberapa gol yang bolos juga adalah berpunca daripada kesilapan pertahanan berusia 32 tahun itu.

Untuk rekod, Vales sebelum ini terlepas dua perlawanan liga awal musim ini akibat kecederaan.

KDA FC ketika ini menghuni tangga keempat liga selepas tujuh perlawanan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram