BEKAS pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Sebastian Avanzini kini dilaporkan berada dalam radar pasukan Liga Super, Negeri Sembilan FC.
Negeri Sembilan yang kini berada di tangga ke-12 itu pastinya mahu mendapatkan pemain import baharu dalam usaha pasukan untuk kembali memperbaiki kedudukan dalam liga.
Dalam pada itu, menjelang jendela perpindahan kedua liga, skuad Jang dikhabarkan mahu mendapatkan bekas tonggak The City Boys itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Berjaya catatkan kemaraan, Sabah Women perlu bersedia hadapi kelab Korea
Avanzini pernah membantu KL City FC layak ke final Piala FA musim 2023. — Instagram/sebastianavanzini
Ia dapat dilihat menerusi hantaran yang dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, T.Avineshwaran di laman X pada Sabtu.
"Difahamkan, Negeri Sembilan mahu menandatangani Sebastian Avanzini. Kali terakhir dia beraksi ialah untuk KL City FC dalam Liga Super tahun lepas,” katanya di X.
Meskipun hanya bersama The City Boys selama semusim, Avanzini merekodkan 31 penampilan, dua gol dan empat bantuan gol mengikut data Transfermarkt.
Avanzini bukan saja boleh beraksi di bahagian tengah tetapi juga di bahagian bek kiri. Keupayaannya bermain di pelbagai posisi akan menambah kekuatan pasukan NSFC dalam saingan Liga Super musim ini.
Avanzini sebelum ini turut membantu KL City layak ke Shopee Cup dengan membantu pasukan itu mara ke final Piala FA 2023.
Berdasarkan semakan terkini di Transfermarkt, dia masih belum mempunyai kelab selepas meninggalkan pasukan Lembah Klang itu pada Januari lalu.
Selain KL City, Avanzini pernah beraksi untuk beberapa kelab Eropah termasuk AC Horsens, Kl Klaksvik, Hobro IK dan BK Frem. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram