SUKAN Malaysia (SUKMA) dikenali sebagai platform untuk mencari pelapis atlet tanah air namun jarang sekali kejohanan yang dianggap 'kecil' seperti Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) mendapat perhatian sepenuhnya dari peminat sukan tanah air.
Tidak mahu membahas MSSD yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada pertengahan Ogos lalu, kini tumpuan peminat sukan tanah air sudah boleh beralih kepada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024.
Kejohanan yang akan berlangsung selama empat hari di Stadium Sultan Suleiman, Klang, bermula 2 sehingga 5 September akan menyaksikan sebanyak 10 daerah akan bersaing dalam dua acara utama iaitu acara balapan dan acara padang.
BACA LAGI: [VIDEO] Hulu Selangor impikan kompleks sukan baharu, MSSS jadi medan terbaik tuntut ganjaran
BACA LAGI: Atlet Hulu Selangor pecah 24 rekod MSSD termasuk 2 catatan usia 14 tahun
Menghimpunkan 10 kontinjen dari Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling Perdana, Petaling Utama, Sabak Bernam dan Sepang, pasti ramai peminat sukan khususnya negeri Selangor pasti tidak sabar melihat daerah mana yang bakal dilihat sebagai 'kolam' bakat dalam dua acara tersebut.
Apabila bercakap mengenai temasya sukan seperti MSSS, pasti rekod-rekod kejohanan yang masih belum dipecahkan akan menjadi sasaran setiap atlet dan jika berjaya mengatasinya, ia akan menjadi lipatan sejarah buat sukan di negeri berkenaan.
Antara rekod yang masih belum dipecahkan ialah acara lompat jauh dari Abd. Ajid Wagih dari Sabak Bernam dengan lompatan sejauh 5.31 meter pada 1982. Selepas 42 tahun berlalu, adakah sejarah baharu bakal tercipta di Stadium Sultan Suleiman, Klang?
Rekod lontar peluru lelaki dalam kejohanan MSS yang sudah pun berusia 27 tahun masih belum lebur apabila tiada seorang pun atlet dalam acara ini boleh memadam catatan lama 12.58m yang dilakukan oleh Chong Choon Meng pada 1997.
Acara lompat jauh masih belum dipecahkan sejak 42 tahun lalu. — Kredit Facebook/SyawqiYunus
Tidak cukup dengan itu, MSSS edisi lain juga menyaksikan ada lagi rekod baharu yang masih belum tercipta dan antara acaranya ialah 1500m, 4x400m, 4x100m, 4x200m, 200m, rejam lembing, lempar cakera dan pelbagai lagi.
Selain rekod baharu, MSSS edisi 2024 juga bakal menyaksikan anak legenda pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan iaitu anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin akan mewakili Sabak Bernam dalam acara larian 200 meter.
Anaknya bersama pelakon jelita, Rita Rudaini itu sebelum ini memecahkan rekod MSSD Sabak Bernam dalam acara larian 200 meter akhir pada 22 Ogos lalu.
Ia merupakan kejayaan berganda Airit Rayyan yang turut meleburkan rekod lebih 20 tahun bagi acara 100 meter di kejohanan sama.
Airit Rayyan (kanan) meleburkan rekod lebih 20 tahun bagi acara 100 meter pada MSSD Sabak Bernam.
Statusnya sebagai anak legenda Johor Darul Ta'zim (JDT), pasti ramai peminat sukan tanah air menanti jika Airit Rayyan akan tampil memecahkan rekod dan mungkin akan menyambung legasi ayahnya dalam bidang sukan selepas ini.
Dari pencarian bakal-bakal pemecah rekod sehingga kepada atlet tumpuan yang sudah dinyatakan, MSSS dijangka akan menjadi medan untuk mencari lubuk bakat acara balapan dan padang tanah air.
Untuk rekod, tahun lalu menyaksikan daerah Petaling Perdana mengesahkan gelaran juara keseluruhan MSSS 2023
dengan kelebihan 20 pingat mengatasi Klang, selepas mengharungi perebutan paling sengit dalam kejohanan itu.
Petaling Perdana mengumpul keseluruhan 34 pingat emas, 37 perak serta 31 gangsa pada MSSS 2023.
Dengan memungut 367 mata, Petaling Perdana mengumpul keseluruhan 34 pingat emas, 37 perak serta 31 gangsa. Ia merupakan kejayaan tiga tahun berturut-turut Petaling Perdana yang menjadi juara juara keseluruhan pada 2020, 2022 dan 2023 (2021 tiada rekod disebabkan Covid-19).
Klang, yang juga naib johan dua tahun berturut-turut, terpaksa akur ditempat kedua lagi pada tahun lalu dengan kutipan 33-25-24, diikuti Petaling Utama (20-20-21), Hulu Langat (70-20-15) dan Gombak (7-7-11) untuk melengkapkan kedudukan lima teratas.
Untuk rekod, selepas ini, wakil yang terpilih mewakili negeri akan berkunjung ke Perak sebagai tuan rumah kejohanan MSS Malaysia pada 18 hingga 25 Oktober depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram