[VIDEO] Hulu Selangor impikan kompleks sukan baharu, MSSS jadi medan terbaik tuntut ganjaran


  • Podium
  • Ahad, 01 Sep 2024

Kontinjen Hulu Selangor sedia membawa misi demi membuktikan kemampuan mereka di MSSS.

46 rekod. Itulah pencapaian terbaik yang dihasilkan atlet muda daerah Hulu Selangor sepanjang Kejohanan Olahraga Majlis Sukan-Sukan Daerah (MSSD) yang berlangsung pada pertengahan Ogos lalu.

Kejayaan itu menunjukkan peningkatan ketara tempoh tiga tahun berturut-turut buat Hulu Selangor selepas 31 rekod dipecahkan pada 2022 dan 36 rekod lebur pada 2023.

Ini membuktikan daerah paling besar di Selangor itu mempunyai ramai bakat dan pelapis muda dalam sukan olahraga untuk diketengahkan walaupun umum mengetahui Hulu Selangor tidak memiliki kemudahan sukan yang serba lengkap berbanding daerah lain.

BACA LAGI: Atlet Hulu Selangor pecah 24 rekod MSSD termasuk 2 catatan usia 14 tahun

BACA LAGI: Serendah juara keseluruhan MSSD Hulu Selangor 2024

Kekangan itu juga tidak menghalang untuk kontinjen Hulu Selangor bersaing dengan daerah pilihan lain seperti Petaling Perdana, Petaling Utama, Gombak dan Klang.

Dari segi pencapaian pungutan mata keseluruhan, Hulu Selangor menempatkan dalam kelompok pertengahan bagi tiga tahun berturut-turut pada 2020, 2022 dan 2023 (2021 tiada rekod disebabkan Covid-19).

Di kejohanan olahraga MSS Selangor (MSSS), sebanyak 10 daerah akan bersaing dalam dua acara utama iaitu acara balapan dan acara padang.

IMG_0855

Hulu Selangor memiliki bakat besar dalam acara olahraga.

Petaling Perdana, Petaling Utama, Klang dan Gombak merupakan daerah gergasi tidak kira sama ada untuk olahraga atau sukan lain seperti bola sepak dan seumpamanya.

Selain mempunyai jumlah sekolah yang lebih tinggi berbanding daerah lain, perlu diakui bahawa prasarana yang dimiliki keempat-empat daerah berkenaan juga menjadi faktor utama kelahiran atlet-atlet muda berbakat besar.

Kemudahan stadium dan kompleks sukan yang serba lengkap menjadi pemangkin semangat buat wakil daerah terbabit untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi.

Malah dengan adanya kemudahan tersebut, latihan berpusat dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan teratur.

MSSD 3

Kejohanan Olahraga MSSD Hulu Selangor diadakan pada pertengahan Ogos lalu.

Kekayaan hasil daerah juga menjadi faktor dengan wujudnya kemudahan-kemudahan tersebut memandangkan kesemua daerah itu memiliki hasil kutipan cukai yang tinggi daripada sektor perindustrian, cukai tanah, cukai taksiran dan sebagainya.

Lihat saja rekod kutipan cukai pada tahun 2022 setiap Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) dan Pejabat Daerah/Tanah Negeri (PDT) dan Majlis Bandaraya/Perbandaran.

Hasil kutipan yang ditunjukkan setara dengan taraf daerah tersebut yang memiliki bandar-bandar besar dan utama di Selangor untuk menjana lebih pendapatan di daerah masing-masing.

Boleh rujuk gambar di bawah berdasarkan jawapan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2022.

Husel 1

Persoalannya, kenapa daerah yang lebih kecil dari Hulu Selangor ini mampu melahirkan bakat-bakat muda sukan negeri?

Bagi Hulu Selangor atau lebih mesra dipanggil Husel, yang boleh dianggap sebagai daerah 'luar bandar', kekangan kewangan mungkin boleh dikatakan sebagai faktor utama tiada kemudahan sukan yang lebih baik disediakan buat penduduknya.

Situasi ini sedikit sebanyak mengikis semangat para guru yang mahu melihat wakil daerah itu bersaing dengan lebih sengit di peringkat MSSS.

Jika diikutkan, semangat mereka sudah 'dilunturkan' di peringkat MSSD lagi.

Mana tidaknya, seluruh sekolah menengah dan rendah di Hulu Selangor terpaksa berkampung di luar kawasan, malah negeri Selangor itu sendiri untuk memilih atlet terbaik dalam kalangan daerah mereka.

Ini kerana, sejak lima tahun lalu, MSSD Hulu Selangor terpaksa dijalankan di Stadium UPSI di Tanjung Malim, Perak, memandangkan daerah mereka tidak memiliki kelengkapan yang mencukupi.

IMG_0470

MSSD Hulu Selangor terpaksa menyewa kemudahan Stadium UPSI di Perak kerana tiada kemudahan yang lengkap.

Walaupun ada Stadium Mini Kuala Kubu Bharu yang juga mempunyai trek balapan, tetapi kemudahan itu difahamkan tidak mengikut spesifikasi serta kurang sesuai untuk menampung kejohanan besar.

Maka, para guru dari segenap sekolah di Hulu Selangor tiada pilihan selain mengeluarkan modal yang besar seperti ada yang terpaksa menyewa bas RM800 sehari serta bergadai nyawa sepanjang lima hari kejohanan di Tanjung Malim.

Itu belum lagi dikira kos makan dan minum atlet yang dibawa ke kejohanan itu.

Malah penganjur kejohanan terpaksa menampung sewa stadium tersebut, sedangkan penjimatan dapat dibuat jika Hulu Selangor memiliki kemudahan mencukup.

Difahamkan, pihak berwajib telah mengemukakan permohonan mendapatkan kompleks sukan baharu kepada pihak sewajarnya beberapa tahun lalu tetapi tiada tindakan diambil.

IMG_0299

Hulu Selangor selayaknya mendapat kemudahan yang setara seperti daerah lain.

Mungkin 'pihak berkenaan' merasakan Hulu Selangor masih belum layak menerima kemudahan sukan yang lebih baik untuk pembangunan bakat muda berdasarkan pencapaian di MSSS.

Jika diikutkan rekod, Hulu Selangor sentiasa menempatkan diri dalam kelompok pertengahan iaitu tempat ke 6 dari 10 daerah dari segi kedudukan mata, dan ia merupakan pencapaian yang baik bagi sebuah daerah berstatus 'luar bandar'.

Malah setidaknya, Hulu Selangor lebih baik berbanding beberapa daerah lain yang memiliki pendapatan yang tinggi serta mempunyai kemudahan sukan yang serba lengkap seperti Sepang atau Kuala Langat.

Jadi tiada alasan untuk menidakkan hasrat anak muda di Hulu Selangor merasai kemajuan yang lebih berkualiti dalam pembangunan sukan seandainya ada pihak sudi memperjuangkan kemudahan baharu di daerah ini.

Bagi kontinjen Hulu Selangor sendiri yang akan berentap pada 2 hingga 5 September ini di Stadium Sultan Suleiman, Klang, mereka harus memberi 200 peratus kudrat dan keringat untuk menaikkan ranking ke kedudukan lebih baik berbanding tahun sebelum ini.

Tidak melampau jika diimpikan, mereka harus memecahkan dominasi daerah gergasi yang mendiami lima tangga teratas.

MSSD 2

Barisan Olahragawan dan Olahragawati Hulu Selangor yang bakal menggalas cabaran besar di MSSS.

Setidaknya, ini dapat membuka mata semua pihak bahawa Hulu Selangor mampu melangkah lebih jauh dan memberi saingan yang sengit jika diberikan kemudahan sama rata seperti daerah lain.

Tetapi itu bukan alasan untuk mereka melakukan persediaan selama empat hari di Stadium Mini KKB denga harapan dapat menyerapkan semangat tinggi kepada 64 anak muda dalam misi mengharumkan nama Husel.

Tidak dilupakan juga, seramai 28 pegawai kontinjen akan sentiasa berada di belakang kesemua atlet terlibat demi memastikan tahap kecergasan dan mental mereka berada di tahap optimum.

Kejohanan MSSS akan berlangsung selama empat hari di Stadium Sultan Suleiman, Klang, bermula 2 September sehingga 5 September.

Selepas itu, wakil yang terpilih mewakili negeri akan berkunjung ke Perak sebagai tuan rumah kejohanan MSS Malaysia pada 18 hingga 25 Oktober depan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram