'Buat terbaik demi banggakan dia', duo atlet asal Bukit Beruntung lonjak nama SSN, mahu 'tawan' Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Fatihah (kiri) memperbaiki rekodnya dalam acara 100m bagi kategori P1 dengan catatan baharu 12.88s manakala Arrisa (kanan) memecah tiga rekod kejohanan dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan rejam lembing.

DUA atlet kelahiran Bukit Beruntung sentiasa menjadikan kata-kata motivasi daripada jurulatih mereka sebagai kunci kejayaan untuk melakar rekod lebih baik dalam acara yang ditandingi.

Nur Arrisa Qaseh Mohd Noor Hafiszal dan Nina Maisarah Ahmad Suhaili dari Sekolah Sukan Negeri merupakan pemecah rekod acara padang dalam Kejohanan Majlis Sukan-sukan Peringkat Daerah (MSSD) Hulu Selangor ke-52 2024.

Nur Arissa melakar sejarah tersendiri apabila memecah tiga rekod kejohanan dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan rejam lembing.

BACA LAGI: 'Patutnya masuk Henry Gurney atau penjara 2 tahun', ibu Damin Mikhail tak puas hati keputusan mahkamah

BACA LAGI: Video kawad ajar disiplin, UPNM trending lagi di Twitter

photo_6192558142173331394_y

Antara atlet lontar peluru yang menyertai MSSD 2024.

Pelajar berusia 13 tahun itu kini memegang tiga rekod dalam acara lontar peluru dengan rekod 8.83 meter (m), acara lempar cakera (26.60m) dan rejam lembing (27.37m) bagi kategori P3 (menengah rendah).

Rekod lontar peluru sebelum ini adalah 8.45m, lempar cakera (23.49m) dan rejam lembing (22.04m).

Kongsi Arissa, rahsianya untuk mencipta rekod baharu itu cukup mudah.

"Kunci kejayaan hari ini adalah saya usaha sampai saya dapat.

"Jadi saya fikir hanyalah lempar, lontar dan rejam sejauh mungkin.

"Tapi pastinya kejayaan hari ini adalah hasil tunjuk ajar coach Khubaib (Muhammad Khubaib Ahmad Fuad)," katanya kepada Majoriti.

Dengan tiga rekod tersebut Nur Arissa kini lebih berkeyakinan untuk melangkah ke Kejohanan MSS Selangor (MSSS) pada bulan depan.

"Saya mahu dapat pingat dan jadi wakil MSSM (wakil negeri).

" Saya tahu Daerah Petaling Perdana merupakan pencabar terkuat tapi misi saya adalah menaikkan nama Hulu Selangor," katanya.

Rakannya pula, Nina Maisarah juga berasal dari Bukit Beruntung, meletakkan harapan sama untuk mendapatkan pingat di MSSS.

Baginya, motivasi yang diberikan coach Khubaib sentiasa menjadi inspirasi buatnya untuk melangkah lebih jauh.

'Cikgu Khubaib tak garang tapi selalu bagi kata-kata positif dan semangat kepada kami.

"Apabila mental kami down, dia akan bantu improve semula mental kami," katanya.

Sebagai pelajar tahun akhir di SSN, Nina Maisarah mahu memberikan yang terbaik buat dirinya, sekolah dan daerah.

"Saya ingat lagi kata-kata cikgu Khubaib, dia kata ini tahun terakhir saya. Jadi saya kena buat yang terbaik untuk banggakan dia," katanya.

Seorang lagi atlet SSN yang memecah tiga rekod MSSD, Nur Fatihah Farhana Mohd Firdaus bersyukur atas sokong orang sekelilingnya untuk membuat 'comeback' penuh bergaya tahun ini.

Kali ini Nur Fatihah memperbaiki dua rekodnya dalam acara 100m bagi kategori P1 (menengah atas) dengan catatan baharu 12.88 saat (s), memadamkan rekod lamanya, 12,93s dan acara 400m menerusi pencapaian baharu, 64.02s, mengatasi masa 2023 iaitu 65.78s.

Satu lagi rekod baharu dilakar adalah bagi acara 200m dengan masa 27.47s, memecahkan catatan masa 27.69s yang dibuat oleh Nur Syahzanani Haidir dari SSN pada 2023.

Nur Fatihah berkata, sikapnya yang tidak berputus asa menjadi resepi untuk mencipta rekod baharu selain sokongan ibu ayah, cikgu dan rakan-rakannya.

"Saya pernah injured tahun lepas dan tahun ni saya yakin boleh buat comeback.

"Tahun lepas dapat emas juga tapi tak pecah rekod.

"Saya harap MMSS tahun ni dapat sumbang emas terutamanya dalam acara 4x400," katanya yang mengalami kecederaan kaki pada kejohanan MSSD tahun lepas.

Sebagai pelajar yang akan mengharungi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Nur Fatihah sentiasa memastikan masa yang seimbang antara bersukan dan pelajaran.

"Bagi saya belajar tu wajib belajar sebab akademik penting walaupun kita main sukan.

"Yang penting kena fokus dalam kelas dan petang all out untuk training.

"Untuk adik bakal atlet, mental kena kuat. Sukan sukan juga tapi pelajaran jangan lupa sebab pelajaran penting untuk masa depan," katanya.

Kejohanan MSSD Hulu Selangor kali ini menyaksikan sebanyak 42 rekod dileburkan sepanjang lima hari pertandingan diadakan di Stadium UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Pencapaian ini mengatasi keputusan 36 rekod baharu yang dicatatkan pada tahun lalu.

Wakil SSN mendominasi senarai pemecah rekod dengan menyaksikan 15 acara mencatatkan pencapaian baharu dalam kejohanan tersebut.

Secara keseluruhannya, sebanyak 17 buah sekolah menengah dan 51 sekolah rendah dari seluruh Hulu Selangor, melibatkan lebih 1,000 peserta menyertai kejohanan yang bermula pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos ini.

Wakil yang terpilih mewakili Hulu Selangor akan bersaing dengan sembilan lagi daerah lain dalam kejohanan MSS Selangor pada 2 hingga 6 September ini di Kapar, Klang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram