SSN dominasi 42 rekod baharu MSSD Hulu Selangor, kuasai acara balapan dan padang


  • Podium
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

SSN mendominasi senarai pemecah rekod dengan menyaksikan 15 acara mencatatkan pencapaian baharu dalam Kejohanan Olahraga MSSD di Stadium UPSI, Tanjung Malim, Perak pada Jumaat.

HARI terakhir Kejohanan Majlis Sukan-Sukan Peringkat Daerah (MSSD) Hulu Selangor kali ke-52 2024 menyaksikan sebanyak 42 rekod dileburkan sepanjang lima hari pertandingan diadakan di Stadium UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Pencapaian ini mengatasi keputusan 36 rekod baharu yang dicatatkan pada tahun lalu.

Sekolah Sukan Negeri (SSN) mendominasi senarai pemecah rekod dengan menyaksikan 15 acara mencatatkan pencapaian baharu dalam kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Atlet Hulu Selangor pecah 24 rekod MSSD termasuk 2 catatan usia 14 tahun

BACA LAGI: [VIDEO] Pengadil dipukul pemain MSSD: KFA tunggu laporan penuh JPN Kedah

photo_6194777420494651558_y

Antara atlet yang menyertai Kejohanan Olahraga MSSD Hulu Selangor.

Dua atlet perempuan dari SSN, Nur Arrisa Qaseh Mohd Noor Hafiszal dan Nur Fatihah Farhana Mohd Firdaus, masing-masing mendominasi acara padang dan balapan apabila menyumbang emas serta mencatat rekod baharu MSSD Hulu Selangor.

Nur Arrisa kini memegang tiga rekod dalam acara lontar peluru dengan rekod 8.83 meter (m), acara lempar cakera (26.60m) dan rejam lembing (27.37m) bagi kategori P3 (menengah rendah).

Rekod lontar peluru sebelum ini adalah 8.45m, lempar cakera (23.49m) dan rejam lembing (22.04m).

Manakala Nur Fatihah pula memperbaiki dua rekodnya sebelum ini dalam acara 100m bagi kategori P1 (menengah atas) dengan catatan baharu 12.88 saat (s), memadamkan rekod lamanya, 12.93s dan acara 400m menerusi pencapaian baharu, 64.02s, mengatasi masa 2023 iaitu 65.78s.

Satu lagi rekod baharu dilakar adalah bagi acara 200m dengan masa 27.47s, memecahkan catatan masa 27.69s yang dibuat oleh Nur Syahzanani Haidir dari SSN pada 2023.

Selain mereka, dua lagi atlet lelaki SSN juga masing-masing memegang rekod baharu MSSD Hulu Selangor bagi acara balapan.

Kamarul Daniel Azudin memenangi acara 200m dengan masa 24.03s, memperbaharu rekodnya sebelum ini, 24.50s.

photo_6194777420494651554_y

Wakil yang terpilih mewakili Hulu Selangor akan bersaing dengan sembilan lagi daerah lain dalam kejohanan MSS Selangor.

Kamarul turut merangkul kedudukan podium bagi acara 400m dengan catatan terpantas 56.72s mengatasi rekod lama 57.30s.

Nik Muhammad Afiq Haqiem Nik Suzairi juga dari SSN, membolot dua emas bagi acara padang menerusi lompat jauh dan lompat kijang.

Nik Muhammad merekodkan lompatan sejauh 6.29m bagi sukan lompat jauh, memadamkan rekod berusia sembilan tahun dengan jarak 5.98m.

Pelajar SSN itu juga cemerlang menerusi acara lompat kijang dengan rekod baharu 13.35m, mengatasi rekod lama pada 2013, 12.88m.

Satu lagi rekod baharu dilakar atlet SSN adalah menerusi acara lontar peluru P1.

Nina Maisarah Ahmad Suhaili mencatat lontaran sejauh 9.62m mengatasi rekod lamanya tahun lalu iaitu 9.56m.

Secara keseluruhannya, sebanyak 17 buah sekolah menengah dan 51 sekolah rendah dari seluruh Hulu Selangor, melibatkan lebih 1,000 peserta menyertai kejohanan yang bermula pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos ini.

Wakil yang terpilih mewakili Hulu Selangor akan bersaing dengan sembilan lagi daerah lain dalam kejohanan MSS Selangor pada 2 hingga 6 September ini di Kapar, Klang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram