Kamera badan jadi 'fear factor' elak salah laku, tingkat integriti pegawai JKDM


  • 112
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

BWC ialah sistem kamera yang dicipta untuk dipakai pegawai Kastam di lapangan khususnya Bahagian Perkastaman dan Bahagian Penguatkuasaan.

PEMAKAIAN body worn camera (BWC) dalam kalangan anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja (JKDM) dapat menambah baik tahap integriti penguat kuasa yang bertugas di lapangan khususnya di pintu-pintu masuk utama negara.

BWC yang mula digunakan sejak Oktober 2023 boleh menjadi 'fear factor' supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku dalam kalangan pegawai yang menggunakannya.

Pada masa sama, orang awam yang berurusan dengan pasukan operasi jabatan juga secara tidak langsung akan lebih berjaga-jaga dalam tindak tanduk mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Kastam rampas rokok, minuman keras bernilai RM12.8 juta dalam 2 serbuan berasingan di Johor

BACA LAGI: Kontena ZIM bawa muatan ayam sejuk beku dari sempadan Malaysia-Thailand diarah patah balik

WhatsApp Image 2024-08-28 at 17.01.30

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin.

Ini akan mengelakkan mana-mana individu daripada mengambil kesempatan selain lebih peka terhadap tahap profesionalisme yang ditunjukkan JKDM menerusi pemakaian BWC.

JKDM berkata, BWC diperlukan untuk melindungi pegawai yang menjalankan tugasan pengoperasian di lapangan daripada tohmahan dan pada masa sama ia dapat meningkatkan integriti pegawai terlibat.

Jabatan itu memaklumkan, BWC juga dapat meningkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk risikan dalam membendung ketirisan hasil negara melalui pencegahan aktiviti penyeludupan.

Buat pengetahuan umum, BWC merupakan satu peranti kamera yang dipakai di badan seseorang anggota semasa menjalankan tugasan.

Ia ialah sistem kamera yang dicipta untuk dipakai oleh pegawai JKDM di lapangan khususnya Bahagian Perkastaman dan Bahagian Penguatkuasaan bagi tujuan untuk merakam bukti dalam bentuk digital.

"Justeru, rakamannya boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terdapat isu berbangkit," kata jabatan itu kepada Majoriti.

Pemakaian BWC dalam tugas harian pegawai JKDM dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Siri 10 Bil.5/2019.

JDKM memaklumkan, sejak dimulakan pada Oktober tahun lalu, pemakaian BWC menunjukkan satu perkembangan positif apabila dapat menurunkan kes aduan salah laku pegawai Kastam di lapangan.

Sebelum BWC digunakan, terdapat sembilan kes aduan dibuat yang melibatkan salah laku pegawai di lapangan namun sejak BWC digunakan, data menunjukkan penurunan kes kepada lima aduan.

WhatsApp Image 2024-08-28 at 17.51.00

BWC merupakan satu peranti kamera yang dipakai di badan seseorang anggota semasa menjalankan tugasan.

Sebagai projek pilot yang pertama bagi JKDM untuk menggunakan peranti BWC, ia meningkatkan lagi tahap integriti pegawai JKDM di lapangan.

JKDM memberitahu, pada peringkat awal, pihaknya memperoleh sejumlah 60 unit BWC secara sewaan bagi tempoh 36 bulan dengan sebanyak 24 unit digunakan JKDM KLIA, Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat (12 unit), JKDM Selangor (12 unit) dan JKDM Johor (12 unit).

Peralatan itu digunakan oleh pegawai di Bahagian Perkastaman yang bertugas sebagai pegawai di barisan hadapan di pintu-pintu masuk utama negara dan juga pegawai di Bahagian Penguatkuasaan yang menjalankan operasi penguatkuasaan.

BWC dikawal selia sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM.

"Data bagi setiap rakaman akan dihantar ke Unit Semboyan di bahagian sama untuk direkod dan disimpan bagi tujuan semakan," tambah jabatan itu.

Sebagai rekod, penggunaan kamera badan bukan perkara baharu dalam kalangan pasukan penguat kuasa kerana telah dilaksanakan di negara-negara maju antaranya Australia dan Amerika Syarikat.

Di Malaysia, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada penguat kuasa termasuklah pegawai kastam, polis dan imigresen bagi menangani kes salah laku termasuk rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan penambahan 2,100 unit kamera badan kepada pemerolehan sebelum ini yang menelan belanja RM30 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram