Keputusan larang ahli Kabinet pegang jawatan sukan wajar, patut diperluas ke Exco negeri


  • Podium
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Nik Nazmi (kiri) dan Fahmi (kanan) merupakan calon asal kepada jawatan Presiden KLFA.

HAJAT untuk dua menteri iaitu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memimpin persatuan sukan tidak menjadi kenyataan.

Hal ini kerana, Kabinet tidak membenarkan mana-mana ahlinya untuk menjawat jawatan sukan. Oleh itu, Fahmi dan Nik Nazmi dinafikan hak untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Melihat kepada keputusan Kabinet itu, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, menyambut baik keputusan tersebut.

BACA LAGI: Tidak dibenar pegang jawatan sukan, Nik Nazmi tarik diri jadi calon Presiden KLFA

BACA LAGI: Kongres KLFA ditangguh selepas Fahmi, Nik Nazmi tarik diri

Keputusan yang diambil Kabinet itu harus dipuji kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban menteri daripada berdepan isu melibatkan sukan.

"Sudah pasti keputusan Kabinet ini bukan sembarangan. Ramai yang bijak pandai dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan ini. Harap-harap keputusan itu dibuat berdasarkan kepada kertas cadangan yang kukuh dan telah melihat implikasi dan kesannya secara menyeluruh.

"Keputusan larangan ini diambil sudah pasti melegakan pihak menteri yang bertanggungjawab untuk berdepan dengan pelbagai isu berkaitan sukan dalam persatuan sukan kebangsaan dan negeri yang diketuai pula oleh rakan sejawatan.

"Terutama dalam bab-bab kegagalan persatuan sukan kebangsaan itu dan juga dilema yang berkaitan dengan permohonan peruntukan untuk persatuan yang dimohon terus oleh rakan sejawatan. Inilah antara dilema utama yang mungkin menjadi asas utama kepada larangan ini.," kata Pekan kepada Majoriti.

Keputusan Kabinet itu ibarat evolusi kepada kancah sukan negara. Hal ini kerana, pada era terdahulu, persatuan sukan memerlukan golongan seperti ahli politik, kerabat diraja dan orang kaya untuk memastikan mereka berjaya.

Namun begitu, dengan perubahan zaman, perubahan perlu dilakukan dalam sebegini. Tetapi bagi Pekan, ia tidak memerlukan perubahan drastik, sebaliknya secara perlahan-lahan.

Melihat kepada perubahan dilakukan di peringkat kerajaan pusat, Pekan berharap agar perkara sama boleh diikuti di peringkat negeri melibatkan para Exco.

"Larangan Kabinet ini sepatutnya boleh dipanjangkan juga ke peringkat negeri, usul ini juga boleh dibawa ke Dewan Undangan Negeri untuk meluluskannya juga di peringkat negeri.

"Keseragaman ini juga penting agar larangan di peringkat Kabinet itu tidak dimanipulasi nanti," ujar Pekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram