Habib Haroon ucap selamat tinggal, bakal kembali ke Liga Bahrain


  • Podium
  • Ahad, 25 Ogos 2024

Habib Haroon dikaitkan dengan pasukan daripada Liga Bahrain.

PEMAIN import utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dikhabarkan sudah mencapai persetujuan dengan pihak pengurusan untuk menamatkan kontrak lebih awal.

Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi dalam laman X miliknya pada Ahad.

Menerusi ciapan Fadhirul, Habib sudah pun mengucapkan salam perpisahan bersama pasukan dan akan menyertai kelab Sitra yang kini beraksi di liga utama Bahrain.

BACA LAGI: Rekod 250 gol sepanjang karier, kisah hilang 2 batang gigi 'The Boss' Mirnawan Nawawi

BACA LAGI: Stadium jadi 'kelebihan' Selangor, statistik jelas milik JDT — Ramon Marcote

"Difahamkan tonggak import tengah Kedah DA, Habib Haroon ucap selamat tinggal kepada pasukan selepas capai persetujuan bersama dengan pihak pengurusan kelab.

"Habib dijangka menyertai kelab Sitra yang beraksi di Liga Premier Bahrain," ciapnya.

Dengan khabar berita dari utara tanah air itu ia sekali gus akan memberikan kerugian buat Kedah kerana umum mengetahui Habib merupakan arkitek utama taktikal 'Nafuzi Ball' di kem Sang Kenari.

Sebelum ini Majoriti turut ada melaporkan bahawa sumber rapat Habib memberitahu pemain itu sudah mula mengemas pakaiannya dan meminta pertolongan rakannya untuk membantu.

"Saya tidak tahu nama kelab tersebut, kawan rapatnya beritahu perkara itu sebab dia (Habib) minta kawannya untuk kemas pakaian."

Namun sehingga ini tiada pengumuman rasmi daripada Kedah berkenaan status Habib yang dikhabarkan sudah menamatkan kontrak bersama Hijau Kuning.

Perpindahan ke Liga Bahrain bukan perkara asing buat Habib kerana dia sebelum ini juga mewakili beberapa kelab di negara kelahirannya itu.

Habib pernah mewakili dua kelab Liga Bahrain iaitu Al-Riffa SC dan Al-Khaldiya SC sebelum menyertai Terengganu pada musim 2021.

Untuk rekod, bersama Kedah Habib telah tampil dalam 11 perlawanan dan menjaringkan satu gol serta dua 'assist' buat skuad kendalian Nafuzi Zain.

Kejayaan terbesar Habib dalam Liga Malaysia ialah membantu Terengganu FC melangkah ke pentas akhir Piala FA 2022 dan Piala Malaysia 2023 sebelum menyertai Kedah awal musim ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram