MUSIM 2024/2025 bukan tahun terbaik buat Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila setakat ini skuad Hijau Kuning masih belum menemui solusi tepat untuk menyelesaikan masalah kewangan dihadapi sejak musim lepas.
Dari hanya menyarung jeris pramusim untuk beberapa perlawanan awal sehingga kini sudah mendapat kit rasmi mereka, Kedah masih belum belum menemui penaja utama untuk membantu mengukuhkan kewangan mereka.
Masalah kewangan yang berlaku itu jelas merosakkan ekosistem pasukan Utara tanah air itu apabila komponen utama mereka iaitu pemain memutuskan untuk meninggakan Kedah pada jendela perpindahan kedua ini.
BACA LAGI: Kalamullah dikhabar bakal tinggalkan KDA FC, Ifwat Akmal disebut kembali jadi penjaga gol utama
Antara yang sudah dapat dipastikan ialah tonggak tengah, Habib Haroon dikhabarkan sudah mencapai persetujuan dengan pihak pengurusan Kedah untuk menamatkan kontrak lebih awal.
Menerusi ciapan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi dalam laman X miliknya pada Ahad menyatakan bahawa Habib sudah pun mengucapkan salam perpisahan bersama pasukan dan akan menyertai kelab Sitra yang kini beraksi di liga utama Bahrain.
Dengan khabar berita dari utara tanah air itu ia sekali gus akan memberikan kerugian buat Kedah kerana umum mengetahui Habib merupakan arkitek utama taktikal 'Nafuzi Ball' di kem Sang Kenari.
Mendung nampaknya akan terus singgah di bumi Darul Aman apabila dikhabarkan beberapa pemain utama Sang Kenari juga akan mengikut jejak langkah Habib iaitu meninggalkan Sang Kenari pada jendela perpindahan kedua ini.
Habib Haroon dikaitkan dengan pasukan daripada Liga Bahrain. — Facebook/KDAFC
Antara nama besar yang dijangka menanggalkan jersi Hijau Kuning ialah Kalamullah Al-Hafiz. Bagaimanapun, destinasi seterusnya penjaga gawang berusia 29 tahun itu tidak dapat dipastikan.
Walaupun tiada sebarang laporan mengatakan masalah tunggakan gaji menjadi faktor Kedah bakal kehilangan beberapa pemain utama namun hantaran dari beberapa pemain jelas menceritakan keadaan Sang Kenari.
Sebelum ini, bek tengah Sang Kenari, Irfan Zakaria berkongsi video yang menyebut gaji dalam Insta Story miliknya baru-baru ini dan dikatakan sebagai petunjuk mengenai masalah kewangan Kedah.
Oleh itu, jangan terkejut jika beberapa pemain khususnya import seperti Milos Gordic dan Jose Cleylton akan membuat keputusan sama jika isu yang membelenggu kelab itu masih gagal diselesaikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram